Anda di sini

LHDN tidak kenakan penalti sempena PKPS

Advertisement
 Nizom (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada wartawan The Borneo Post Jenne Lajiun (kanan) pada majlis itu.
APRESIASI: Nizom (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada wartawan The Borneo Post Jenne Lajiun (kanan) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan mengenakan sebarang penalti kepada mana-mana individu yang tampil membuat pengakuan sukarela laporan percukaian menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Ketua Pegawai Eksekutif Hasil Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi berkata, langkah yang diambil itu juga melambangkan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan PKPS yang bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

Katanya, individu yang tampil hanya perlu melaporkan berdasarkan apa yang mereka ketahui dan pihak LHDN akan menerima secara baik laporan berkenaan.

Menurutnya, LHDN juga tidak akan membuka laporan bagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit serta memberikan panduan perkara yang patut dibuat supaya laporan percukaian akan terus dibuat pada tahun akan datang.

"Bila mereka tampil kita terima secara suci hati daripada sekarang ke hadapan. Kita mengajak untuk bersama-sama supaya mereka yang tidak faham, pihak LHDN boleh jelaskan dan bantu untuk mudahkan.

"Kita mahu ke hadapan dan kalau boleh tiada lagi orang yang tidak tahu ataupun terlupa dalam hal berkaitan percukaian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui pada majlis Berbuka Puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di sini semalam.

Dalam pada itu Nizom berkata, jika ada sesiapa yang mahu tampil lebih awal sebelum bermulanya PKPS, pihak LHDN turut bersedia menerima laporan yang dikemukakan tanpa ada halangan.

"Kalau ada yang mahu membuat pengakuan sukarela supaya tidak dikenakan penalti dan sebagainya boleh datang sekarang, kami boleh terima," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihak LHDN turut menganggarkan sekitar 50,000 pembayar cukai akan tampil membuat pengakuan percukaian dengan jumlah taksiran cukai dianggarkan sebanyak RM1 bilion.

Bagaimanapun jelasnya, jumlah berkenaan bukanlah menjadi fokus utama LHDN dalam melaksanakan PKPS.

"Memang kalau boleh mahu banyak tetapi kalau banyak sangat pun menandakan ia tidak bagus, bererti terlalu banyak yang selama ini tidak melapor dengan betul.

"Kita mengharapkan angka itu sesuatu yang munasabah dan fokus bukannya hasil tapi fokus lebih kepada untuk memberikan peluang kepada semua supaya tampil membuat laporan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement