Anda di sini

Ibu kandung atau waris dicari

Advertisement
 Anis Nurr Zulaikha yang ditinggalkan ibunya tanpa sebarang dokumen.
DITINGGALKAN: Anis Nurr Zulaikha yang ditinggalkan ibunya tanpa sebarang dokumen.

KOTA BELUD: Pejabat Kebajikan Daerah di sini sedang mencari ibu kandung atau waris kepada seorang anak kecil yang diletakkan dibawah Perintah Jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) melalui perintah Mahkamah Kanak-Kanak Kota Belud.

Pelindung di Pejabat Kebajikan Daerah Kota Belud, Norlidayu Peli berkata, kanak-kanak perempuan bernama Anis Nurr Zulaikha berusia 2 tahun 4 bulan ditinggalkan ibu kandungnya tanpa sebarang dokumen.

“Kes ini dirujuk oleh Haldiah Amit dengan beralamat di Kg Kaguraan Kota Belud yang merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga dan melindungi, selepas kanak-kanak itu diserahkan kepadanya pada November 2021.

“Berdasarkan maklumat penjaga, ibu kandung itu bernama Norciema Zulkipli dan pernah bekerja sebagai pembantu rumah Haldiah bermula pada 2019 sehingga 2022.

“Selepas menyerahkan anak, ibu kandung tidak pernah menuntut anak itu dan penjaga tidak tahu di mana ibu kandung itu berada,” katanya.

Ketika ini Norlidayu berkata, kanak-kanak itu diletakkan sementara di bawah jagaan OYLS melalui Perintah Mahkamah mengikut peruntukan Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mei 2023.

Sehubungan dengan itu, pihak jabatan memohon kerjasama ibu kandung atau waris kanak-kanak itu untuk datang ke Jabatan Kebajikan Am Daerah Kota Belud atau menghubungi pelindung di talian 016-4006457 bagi membantu Jabatan mengesan ibu kandung kanak-kanak itu.

“Ini bagi memberi maklumat yang boleh membantu jabatan mengesan ibu kandung kanak-kanak itu, selain membantu mahkamah membuat keputusan terbaik untuk penempatan dan kebajikan kanak-kanak itu,” jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement