Anda di sini

Enam lelaki ditahan terlibat kes pecah masuk kedai, curi motosikal

Advertisement
 Antara suspek yang ditahan terbabit kes pecah masuk kedai dan curi motosikal.
TANGKAP: Antara suspek yang ditahan terbabit kes pecah masuk kedai dan curi motosikal.

TAWAU: Enam lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai runcit di sebuah ladang, di sini pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua suspek terbabit ditahan oleh sepasukan anggota yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) menerusi rondaan cegah jenayah (RCJ) di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata tangkapan pertama membabitkan lima lelaki di kawasan Checkpoint Batu 32 Jalan Tawau-Kunak.

Katanya, kelima-lima suspek terbabit ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal, membawa kepada penahanan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk kedai dan curi motosikal di sekitar daerah ini.

“Suspek turut menunjukkan komponen dan motosikal curi yang disimpan di kawasan tempat pelupusan sampah Bukit Gemok, di sini,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, komponen dan motosikal tersebut pernah dilaporkan hilang di kampung Ranggu pada 19 Mac lalu.

 Salah seorang suspek menunjukkan komponen motosikal yang dicuri.
CURI: Salah seorang suspek menunjukkan komponen motosikal yang dicuri.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berumur 18 hingga 25 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Jasmin berkata, IPD Tawau sedang giat aktif menjalankan operasi yang berkonsepkan ‘Aggresive Policing’ dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini.

“Polis tidak akan berkompromi dengan penjenayah, malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement