Anda di sini

Pelanggan LPPSA kini boleh mengurus pembiayaan perumahan secara dalam talian

Advertisement
Ahmad Maslan dan Mohd Farid pada majlis perasmian LPPSA E-kounter dan Piagam Pelanggan yang baharu.
Ahmad Maslan dan Mohd Farid pada majlis perasmian LPPSA E-kounter dan Piagam Pelanggan yang baharu.

Oleh Yovinka Devi

PUTRAJAYA: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah mengadakan majlis perasmian e-Kaunter dan Piagam Pelanggan bertempat di bangunan LPPSA sini di Putrajaya. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I (TMK I) Kementerian Kewangan Malaysia dan turut disertai oleh Mohd Farid bin Dato' Haji Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA.

LPPSA telah menyediakan satu platform baharu komunikasi dalam talian yang dinamakan e-Kaunter. e-Kaunter ini membolehkan para pelanggan dan rakan kerjasama LPPSA untuk berhubung secara terus dengan pegawai khidmat pelanggan LPPSA melalui panggilan video.

Dengan e-Kaunter, para pelanggan LPPSA tidak perlu lagi hadir ke premis LPPSA di Putrajaya untuk berurusan berkaitan pembiayaan perumahan. e-Kaunter boleh diakses di mana-mana sahaja melalui pelbagai peranti seperti telefon pintar, komputer dan juga tablet.

"Ini merupakan satu langkah ke hadapan LPPSA memartabatkan pengurusan pembiayaan perumahan untuk penjawat awam, di mana penjawat awam tidak perlu lagi hadir ke kaunter perkhidmatan, hanya hadir secara maya sahaja," kata Mohd Farid.

Antara perkhidmatan konsultansi yang disediakan ialah pengiraan kelayakan, semakan tunggakan, pertanyaan status pinjaman, penghantaran dokumen sokongan seperti pemakluman persaraan, pemakluman kematian peminjam dan lain-lain perkhidmatan lagi. Platform e-Kaunter ini terbuka kepada semua pelanggan LPPSA termasuklah pihak peguam, pemaju dan pihak berkepentingan.

Perkhidmatan konsultansi secara digital dan interaksi secara virtual (maya) ini merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh segelintir organisasi seperti syarikat insurans dan universiti di Malaysia kerana pembangunannya memerlukan pelbagai sumber antaranya dari segi tenaga manusia dan penggunaan teknologi terkini.

Dengan adanya e-Kaunter ini, LPPSA berharap ia akan membantu memudahkan urusan permohonan pembiayaan dan juga pemantauan pembiayaan oleh para penjawat awam semudah di hujung jari.

Ahmad turut merasmikan Piagam Pelanggan baharu LPPSA yang telah ditambah baik sejajar dengan keperluan semasa. 

Menurut Ahmad, sehingga kini LPPSA memberikan perkhidmatan kepada 776,000 penjawat awam dengan keseluruhan jumlah pinjaman kira-kira RM100 bilion.

Sementara itu, Mohd Farid turut menyatakan LPPSA sentiasa menambah baik penyampaian perkhidmatan dan memudahkan urusan peminjam LPPSA di mana jua mereka berada.

LPPSA merupakan sebuah badan berkanun yang diasingkan saraan dan bebas sepenuhnya di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang bertanggungjawab menguruskan pembiayaan perumahan untuk sektor awam dan telah mula beroperasi pada 1 Januari 2016.
 

Advertisement