Anda di sini

Bapa maut akibat lemas ketika cuba selamatkan anak

Advertisement
 Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa selepas ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasinya dilaporkan hilang di sungai berkenaan.
USUNG: Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa selepas ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasinya dilaporkan hilang di sungai berkenaan.

PUTATAN: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hanyut ketika menyelamatkan anak lelakinya berumur 5 tahun ditemukan di Sungai Kampung Imbahan di sini selepas 16 jam dilaporkan hilang.

Mangsa yang dikenali sebagai Lasibi Lawahidu, 40, ditemukan kira-kira jam 9.15 pagi hari ini iaitu sekitar 300 meter dari lokasi mangsa cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh bersama kereta miliknya di sungai terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah.

Katanya, pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung di lokasi mangsa dipercayai tenggelam ketika menyelamatkan anaknya.

"Mayat mangsa dikeluarkan dari sungai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di sungai berkenaan selepas kejadian menyelamatkan anaknya kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Dipercayai, ketika anaknya berada di dalam kenderaan terbabit, secara tiba-tiba keretanya bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa yang berada di tebing dan sedang memancing kemudian bertindak terjun untuk menyelamatkan anaknya dan sempat mengeluarkan anaknya daripada kereta sebelum dibantu oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam ketika orang awam menyambut anak mangsa di tebing sungai terbabit.

Mohd Haris berkata, operasi pencarian hari ini bermula jam 6 pagi selepas ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan hampir 70 pegawai dan anggota daripada setiap agensi keselamatan.

Menurutnya, hasil kolaborasi agensi keselamatan dalam operasi SAR, pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa dalam masa yang cepat daripada jangkaan.

"Operasi disertai PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah; PGU, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan penduduk kampung," katanya.

Dalam pada itu,  beliau turut mengingatkan orang awam terutama yang tinggal di sekitar Putatan supaya tidak melakukan aktiviti riadah seperti memancing di kawasan sungai berkenaan.

"Dua tahun lalu, kejadian sama turut berlaku membabitkan kanak-kanak lemas di kawasan ini. Jadi kita khuatir mungkin akan berlaku lagi kejadian serupa pada masa hadapan," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement