Anda di sini

Hak kebebasan masyarakat perlu dilindungi

Advertisement
NICHOLAS
NICHOLAS

KOTA KINABALU: Campur tangan dalam menentukan cara pemakaian seseorang adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sekali gus menafikan hak kebebasan.

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Nicholas Ban berkata, perkara seumpamanya berlaku di Kelantan baru-baru ini menunjukkan negeri itu diperintah oleh regim diktator, sekali gus melanggar hasrat Malaysia yang mahu mewujudkan sebuah negara yang bebas beragama dan berbilang bangsa.
 
"Baru-baru ini, tujuh pemuda telah diberikan amaran oleh pihak berkuasa negeri berkenaan kerana berseluar pendek selain mahu kesemua mereka itu menerima kaunseling.

"Perkara sama berlaku di negeri berkenaan beberapa tahun lalu, amaran diberikan kepada pemain bola sepak tempatan kerana memakai seluar pendek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemerintahan seumpamanya sudah pasti akan membantutkan usaha negara membangun ke arah yang lebih maju disebabkan konsep pemerintahan tidak sama.

Katanya, sekiranya Malaysia diperintah oleh parti berkenaan bersama gabungan mereka, sudah pasti negara ini akan diperintah dengan konsep diktator sekali gus akan ditinggalkan oleh negara lain.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak tidak akan dijadikan mainan oleh parti-parti politik yang melampau di masa hadapan.

"Kedua-dua negeri ini mempunyai parti tempatan yang kuat untuk mentadbir negeri masing-masing, hanya dengan cara ini rakyat dapat dilindungi.

"Saya percaya hanya kerajaan yang dibentuk oleh parti tempatan yang kuat dapat bekerjasama dengan berkesan dengan kerajaan perpaduan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement