Anda di sini

Pelabuhan Senari bakal punyai VTMS menjelang Mei

Advertisement
Uggah merakamkan kenangan selepas semasa melakukan lawatan dan pemeriksaan VTMS di Pelabuhan Senari, hari ini.
Uggah merakamkan kenangan selepas semasa melakukan lawatan dan pemeriksaan VTMS di Pelabuhan Senari, hari ini.

KUCHING: Pelabuhan Senari di sini bakal mempunyai Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) menjelang Mei tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, pelaksanaan sistem itu di bawah kos RM30 juta, sekali gus membantu memastikan keselamatan dan kecekapan pelayaran di pelabuhan.

Bercakap kepada media selepas melihat kemajuan pemasangannya di Pelabuhan Senari hari ini, Uggah berkata sistem itu hampir siap.

"Dengan itu, kita boleh melihat sejauh 40 kilometer ke laut dari pantai. Ini akan membantu kita menguruskan kemasukan kapal," ujarnya.

Uggah berkata, menurut taklimat sebelum ini, VTMS juga akan memberikan maklumat masa nyata mengenai keadaan navigasi.

Ia akan menyelaras dan memantau keseluruhan aliran trafik kapal di kawasan yang ditetapkan untuk menyediakan keselamatan pelayaran, katanya. 

Selain itu katanya, ia juga akan mengawal pergerakan kapal yang membawa kargo dan kawalan kejadian marin di samping melindungi alam sekitar. 

Uggah kemudiannya turut melawat tapak limbungan kenderaan pelabuhan dan kemudahan berkaitannya yang berdekatan. 

Beliau berkata, kawasan itu adalah untuk kapal 'roro' (kapal pengangkut kenderaan) yang datang ke negeri ini. 

"Pada masa ini, kapal-kapal ini akan berlabuh di Pending (di dermaga Lembaga Pelabuhan Kuching) sebaik tiba.

"Tetapi kini, kita sedang membina Jambatan Sejingkat berhampiran Pelabuhan Senari.

"Justeru, kita mahu kontraktor yang membuat limbungan kenderaan yang baharu akan cuba menyiapkannya menjelang Julai 2024," ujarnya.

Uggah berkata, limbungan kenderaan baharu itu bernilai RM56.9 juta dan boleh memuatkan 5,000 unit kenderaan serta pembinaannya kini empat peratus lebih awal daripada jadual.

Laman Pending semasa hanya boleh memuatkan 2,800 unit katanya, sambil menambah kenderaan tersebut untuk dijual di negeri ini.

"Jadi, kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan kapal 'roro,' kami di sini untuk membantu anda dan kami mahu anda kekal di Kuching dan akan menyediakan perkhidmatan terbaik yang diperlukan dengan lebih banyak ruang di Pelabuhan Senari," jelasnya.

Pada masa yang sama, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) turut melawat projek Jambatan Sejingkat. 

Beliau berkata, pembinaan jambatan bernilai RM365.7 juta itu adalah 12 peratus lebih awal daripada jadual dan dijangka siap pada Jun 2025.

"Setakat ini kemajuan pembinaannya memuaskan, tetapi kita ingin mempercepatkan tarikh penyiapan.

 "Ia adalah sebahagian daripada projek Jalan Pantai di mana kita sangat teliti dalam pembangunan infrastruktur. 

"Bagi JKR negeri, kita mesti memastikan projek dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan," tegasnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement