Anda di sini

Kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel tumpas

Advertisement
 Skid tank berkapasiti 10,000 liter yang disita KPDN Cawangan Sandakan.
RAMPAS: Skid tank berkapasiti 10,000 liter yang disita KPDN Cawangan Sandakan.

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Melayu, Batu 8, Sandakan pada 22 Mac 2023.

Ketua Cawangan Pejabat KPDN Sandakan Sabah, Azdy Zukkry John berkata, hasil serbuan pada jam 4 petang itu telah menjumpai dan menyita sebanyak 4,000 liter minyak diesel di dalam skid tank.

Selain itu katanya, pihaknya juga merampas alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu sebuah skid tank berkapasiti 10,000 liter, satu unit engine pump, dan hos.

"Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM9,600. Seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDN Cawangan Sandakan sebelum serbuan dijalankan. 

"Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai tindakan lanjut, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) PeraturanPeraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Katanya, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

"Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Beliau menjelaskan KPDN Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian.

  • oleh
  • Advertisement