Anda di sini

Tukar status pinjaman taman perindustrian kepada geran

Advertisement
ANDI MUHAMMAD SURYANDY
ANDI MUHAMMAD SURYANDY

KUALA LUMPUR: Status pinjaman bagi pembiayaan Persekutuan taman-taman perindustrian di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah perlu ditukar kepada geran.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy mencadangkan agar perkara itu dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau mengesyorkan agar cadangan itu dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) supaya semua peruntukan Persekutuan diberi secara geran kepada taman-taman perindustrian di Sabah.

Selain itu katanya, pinjaman sedia ada di taman-taman perindustrian di negeri ini sehingga Rolling Plan Ketiga (RP3) RMK12 dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM273,519,585.97 ditukar kepada geran.

"Ia merangkumi pinjaman kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd berjumlah RM261,849,585.97 dan POIC Sdn Bhd sebanyak RM11,670,000.

"Cadangan ini dibuat atas beberapa justifikasi termasuk Sabah mendapat jumlah nilai pelaburan yang besar dan ini menjana pembangunan ekonomi serta meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan secara langsung meningkatkan pendapatan negara dan nilai KDNK Malaysia.

“Misalnya, KKIP menyumbang sebanyak RM315 juta setahun kepada nilai KDNK Malaysia dan membayar kira-kira RM75 juta setahun untuk kutipan cukai korporat kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat di sini semalam.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan ini berkata, dalam tempoh tiga tahun dari 2019 hingga 2021, sektor perindustrian antara penyumbang kepada KDNK Sabah.

Menurutnya, nilai KDNK Sabah yang diperoleh dari sektor perindustrian adalah berjumlah RM6.5 bilion atau 7.6 peratus KDNK pada 2019, RM6 bilion (7.8 peratus) pada 2020 dan RM5.9 bilion (7.5 peratus) pada 2021.

Dalam pada itu jelasnya, taman-taman perindustrian di Sabah turut mewujudkan peluang pekerjaan dan mampu menjana pelaburan berskala besar.

“Sehingga kini, KKIP berjaya menarik 300 syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM10.5 bilion dan membuka sebanyak 18,031 peluang pekerjaan.

“POIC Lahad Datu juga berjaya menarik 35 syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.5 bilion dengan 2,186 peluang pekerjaan dibuka.

“Selain itu, Sipitang Oil And Gas Industrial Park (SOGIP) membawa masuk syarikat PETRONAS untuk menjalankan operasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM6.73 billion melibatkan 450 peluang pekerjaan," jelasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, secara keseluruhannya, nilai pelaburan ketiga-tiga taman perindustrian berkenaan berjaya diperoleh dengan jumlah sebanyak RM20.73 bilion.

Pihaknya turut percaya, penukaran status pinjaman kepada geran akan membantu perindustrian di Sabah untuk lebih maju dan berdaya saing dalam memfokuskan kepada tarikan kepada para pelabur.
 

  • oleh
  • Advertisement