Anda di sini

Keputusan siasatan kes bunuh remaja perempuan dalam masa terdekat

Advertisement
 Idris (tengah) bercakap kepada media mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan. Turut kelihatan Jauteh (kiri) dan Muddin (kanan).
SIASAT: Idris (tengah) bercakap kepada media mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan. Turut kelihatan Jauteh (kiri) dan Muddin (kanan).

PUTATAN: Siasatan lanjut melibatkan proses pengumpulan bahan bukti masih dijalankan pihak polis berhubung kes remaja perempuan yang dipercayai dibunuh di Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, keputusan siasatan kes membabitkan mangsa yang berumur 15 tahun itu akan diketahui dalam masa terdekat.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengumpul bahan bukti berhubung kes mangsa yang ditemukan meninggal dunia di kawasan setinggan Kampung Forest Sandakan pada 14 Mac lepas.

"Kes masih dalam siasatan dan polis dalam proses mengumpul bukti. Dalam masa terdekat kita akan tahu keputusannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media mengenai perkembangan siasatan kes terbabit selepas Program '1st Day At School' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan orang awam sebelum laporan polis dibuat pada jam 10 pagi 14 Mac lepas.

Susulan penemuan mayat perempuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjalankan siasatan dan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan berhampiran lokasi kejadian pada hari yang sama kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Muddin Beting.

  • oleh
  • Advertisement