Anda di sini

Petisyen pilihan raya Dr Rayong ditolak, Roy kekal Ahli Parlimen Lubok Antu

Advertisement
Dr Rayong dan Wong semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. – gambar Chimon Upon
Dr Rayong dan Wong semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini. – gambar Chimon Upon

KUCHING: Roy Angau Gingkoi kekal memegang kerusi Parlimen Lubok Antu setelah Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak petisyen Dr Johnical Rayong Nyipa untuk membatalkan keputusan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol sebaliknya membenarkan permohonan pihak responden pada 15 Mac lalu yang memohon agar petisyen dikemukakan Dr Rayong (plaintif) dibatalkan, tanpa memerlukan responden pergi ke mahkamah untuk menghadiri sesi perbicaraan.

Terdahulu, semasa memfailkan petisyen tersebut pada 3 Januari 2023, Dr Rayong menamakan Ahli Parlimen Lubok Antu terbabit yang juga wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Angau Gingkoi sebagai responden pertama, sementara responden kedua dan ketiga masing-masing dinamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu, Duncan dalam memberikan keputusan bagi kes itu hari ini menetapkan keseluruhan petisyen difailkan Dr Rayong dibatalkan dengan kos RM20,000 kepada kesemua responden, tertakluk kepada pembayaran yuran pengagih.

Duncan antara lainnya menyatakan petisyen yang difailkan Dr Rayong yang juga Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak menurut bentuk ditetapkan oleh peraturan-peraturan sedia ada, selain gagal membuktikan dakwaan terhadap ketiga-tiga responden.

Turut hadir di mahkamah pada hari ini untuk memberikan sokongan terhadap Dr Rayong adalah Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh. 

Barisan peguam dari Jabatan Peguam Negara Malaysia (Dari kiri) Nur Syazwani, Saravanan, Al-Saifi dan Nor 'Aqilah yang mewakili responden kedua dan ketiga.
Barisan peguam dari Jabatan Peguam Negara Malaysia (Dari kiri) Nur Syazwani, Saravanan, Al-Saifi dan Nor 'Aqilah yang mewakili responden kedua dan ketiga.

Roy diwakili peguam Sim Hui Chuang, Alex Lim Lip Tze, Nicholas Wong dan Stella Sim, manakala RO dan SPR diwakili peguam dari Jabatan Peguam Negara Malaysia iaitu Mohammad Al-Saifi Hashim, Saravanan Kuppusamy, Nor 'Aqilah Abdul Halim dan Nur Syazwani Abdul Aziz.

Dr Rayong pula diwakili peguam Clement Wong bersama pasukan perundangannya Then Siaw Lian, Sia Ee Fuan dan Christopher Chin.

Terdahulu, semasa PRU15 yang diadakan pada 19 November 2022, Dr Rayong mendapat 6,544 undi manakala pencabar terdekatnya Roy (calon dari Parti Rakyat Sarawak) memperoleh 6,644 undi, iaitu perbezaan 100 undi sahaja. 

Susulan itu pada 23 November 2022, Dr Rayong telah meminta SPR mengira semula undi dan menyemak semula undi rosak, undi tidak dikembalikan dan peratusan keluar mengundi.

Beliau juga meluahkan rasa kecewanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu dan disebabkan SPR tidak menunaikan permintaannya itu, petisyen pilihan raya terpaksa difailkan pada Januari tahun ini.

Bagi menyokong petisyen tersebut, calon PSB itu mengemukakan tiga alasan diperuntukan di bawah Seksyen 32(a), (b) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Alasan-alasan tersebut adalah kegagalan RO melakukan semula pengiraan (undian) apabila diminta berbuat demikian selepas Dr Rayong kalah kepada Roy dengan majoriti tipis iaitu 100 undi, selain mendakwa terdapat unsur rasuah dan sogokan.

Untuk rekod, konstituensi Lubok Antu mempunyai 28,995 pengundi berdaftar.
 

  • oleh
  • Advertisement