Anda di sini

Angka kematian akibat Siklon Freddy di Malawi kini cecah 225

Advertisement
Penduduk berkumpul di bawah khemah besar ketika upacara pengebumian beramai-ramai mangsa bencana tanah runtuh akibat Siklon Freddy di bandar Chilobwe kelmarin. — Gambar AFP
Penduduk berkumpul di bawah khemah besar ketika upacara pengebumian beramai-ramai mangsa bencana tanah runtuh akibat Siklon Freddy di bandar Chilobwe kelmarin. — Gambar AFP

BLANTYRE: Anggota penyelamat kelmarin bergegas untuk membantu mangsa terselamat di bandar Malawi, Blantyre, selepas Siklon Freddy membadai selatan Afrika buat kali kedua, mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan lebih 240 orang di dua negara.

Keadaan cuaca dijangka bertambah baik apabila ribut reda selepas membawa hujan lebat selama beberapa hari, tetapi ribut petir setempat akan berterusan, dan paras banjir kekal tinggi di beberapa kawasan, menghalang usaha pasukan kecemasan.

“Jumlah kematian meningkat daripada 190 kepada 225 orang dengan 707 cedera dan 41 dilaporkan hilang,” kata agensi pengurusan bencana Malawi.

Jurucakap Palang Merah Malawi, Felix Washon memberitahu AFP bahawa mereka telah menyelamatkan orang ramai dari atas pokok dan bumbung.

“Ia satu cabaran untuk sampai kepada mangsa kerana air tinggi dan jambatan rosak,” tambahnya.

Freddy kembali ke tenggara Afrika pada hujung minggu buat kali kedua dalam masa kurang daripada tiga minggu, meninggalkan jejak kematian dan kemusnahan.

Pihak berkuasa di negara jiran, Mozambique melaporkan 21 kematian setakat ini dan jumlah korban jiwa di sana dijangka meningkat.

Pekerja di Malawi juga memberi amaran bahawa lebih ramai mangsa dijangka ditemui tatkala mereka mencari mangsa-mangsa di kawasan kediaman yang musnah, walaupun harapan tipis.

“Empat orang daripada keluarga saya masih hilang selepas tertimbus dalam lumpur,” kata Alabu Wiseman, 24, dari sebuah sekolah di Blantyre yang kini menjadi tempat perlindungan sementara.

Tentera dan polis mengetuai operasi mencari dan menyelamat, yang akan diteruskan selama dua hari lagi menurut Palang Merah.

Ramai orang terbunuh akibat aliran lumpur yang menghanyutkan rumah di dalam dan di sekitar ibu kota negara, Blantyre.

Di seluruh Malawi, lebih 88,000 orang kehilangan tempat tinggal, dan kini ramai berlindung di 165 kem sementara.

Pihak berkuasa menyata-kan beberapa klinik tidak boleh diakses kerana banjir atau jalan raya rosak.

Negara miskin itu sudah pun bergelut dengan wabak kolera paling dahsyat dalam sejarahnya, yang telah membunuh lebih 1,600 orang sejak tahun lepas.

Presiden Lazarus Chakwera, yang kembali ke Malawi pada Selasa selepas menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Qatar, melawat kawasan terjejas kelmarin.

Siklon Freddy melanda Malawi pada awal Isnin selepas membadai Mozambique pada hujung minggu.

“Kami masih di peringkat awal untuk menyimpulkan kesan penuh siklon ini,” kata jurucakap UNICEF Mozambique, Guy Taylor, sambil menambah bahawa angka korban mungkin akan meningkat.

Ribut itu memecahkan rekod Pertubuhan Meteorologi Dunia sebagai siklon tropika yang paling lama selepas ribut John pada 1994 yang berpanjangan selama 31 hari.

Siklon Freddy terus berpusar selama lebih 35 hari.

Freddy menjadi ribut yang bernama pada 6 Februari, mendarat di Madagascar pada 21 Februari dan membinasakan pulau itu sebelum sampai ke Mozambique pada 24 Februari.

Ia kemudian kembali ke Lautan Hindi dan mengumpulkan kekuatan baharu di perairan yang hangat, kemudian berputar kembali dengan lebih kuat, membawa angin ribut berkelajuan sehingga 200 kilometer sejam.

Siklon yang berputar di seluruh Lautan Hindi sangat jarang berlaku, kata ahli meteorologi – kali terakhir ia berlaku pada 2000.

Siklon Freddy telah mengembara sejauh lebih 8,000 kilometer. — AFP 
 

Advertisement