Anda di sini

Dua maut, 28 hilang feri karam di Gabon

Advertisement
 

LIBREVILLE: Sekurang-kurangnya dua orang maut dan 28 lagi hilang selepas sebuah feri kecil karam di luar pantai Gabon, seorang pegawai pelabuhan  memberitahu AFP kelmarin.

Feri, dalam lawatan semalaman dari ibu negeri Libreville ke bandar Port-Gentil, melaporkan “kemasukan air” antara jam 3 pagi dan 4 pagi waktu tempatan, kata pemilik kapal, Royal Cost Marine, di Facebook.

“Kebocoran itu membawa kepada kehilangan kawalan  terhadap feri. Pihak berkuasa telah dimaklumkan, pasukan kecemasan berada di tempat kejadian dan penumpang sedang diselamatkan,” katanya.

Feri itu berlepas dengan membawa 151 penumpang, menurut sumber pelabuhan, bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Enam ambulans sedang menunggu bersama dengan sebuah trak bomba di atas jeti di Port Mole, tempat feri itu berlepas sebelum ini, dan kanu bermotor telah mula membawa masuk mangsa yang terselamat, kata wartawan AFP.

Seorang wanita muda telah dibawa ke ambulans dengan menggunakan pengusung, ditutupi dengan selimut  kecemasan.

Mangsa lain yang selamat telah mendarat dari sebuah tongkang bekalan dari syarikat minyak, yang mengambil bahagian dalam operasi menyelamat,  ketika orang ramai bertepuk tangan.

Perdana Menteri Alain-Claude Bilie-By-Nze dan Menteri Dalam Negeri Lambert Noel-Matha telah berada di pelabuhan. — AFP

Advertisement