Anda di sini

Penganggur rugi lebih RM9,000 jadi mangsa pinjaman wang tidak wujud 

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

SIBU: Hasrat seorang penganggur untuk membuka perniagaan sendiri tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM9,000 selepas menjadi mangsa pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan selepas mangsa tampil membuat laooran polis pada 5.30 petang Isnin.

“Mangsa mendakwa dia tertarik dengan tawaran pinjaman wang melalui aplikasi satu laman web yang menawarkan pinjaman mudah dan cepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa menghubungi suspek dan memaklumkan bahawa dia ingin membuat pinjaman RM100,000 untuk membuka perniagaan.

“Sebelum itu, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan untuk kelulusan pinjaman,” kata Zulkipli.

Tanpa curiga, mangsa telah memindahkan RM9,730 ke tiga nombor akaun berbeza yang diberikan suspek.

Namun selepas bayaran dibuat, suspek diminta untuk membuat bayaran berulang menyebabkan dia sedar dirinya telah menjadi mangsa penipuan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah Zulkipli.

Advertisement