Anda di sini

Sarkoma Ewing

Advertisement
 


Oleh: Benedict Anak Samling

Luka duka tenggelam ke dalam kolam air masin lalu melarutkan lapisan kepura-puraan – Pemburu Khayalan.

PERNAH cuba ubat itu? Mahu cuba rawatan ini? Pernah berubat cara kampung? Kamu tahu kayu hujan panas? Sudahkah kamu ke Banjaran Iran minum air gunung di sana? 
     Soalan-soalan itu seperti menjadi jamuan utama Soh yang bersalutkan racun, membunuh sisa-sisa cahaya di jiwanya. Dan, soalan-soalan itu semakin membengkak seperti membengkaknya pesanan-pesanan ringkas yang berdenyut-denyut bisa di dalam peti masuk telefon bimbit Soh. Soalan-soalan yang seumpama itu, menerjah tiba seolah-olah tidak akan menemui titik noktah yang tepu. Soalan-soalan itu juga mengocakkan dada dan menyempitkan rongga nafas Soh. 
     ‘Aduh! Mengapa suara-suara mereka seperti mata jepur mengikis tulang-tulangku? Sakit apakah ini?’ Soh terduduk di bucu katilnya sambil memicit-micit kepala yang berdenyut kencang seperti gunung berapi yang akan meledak pada bila-bila masa sahaja. Dia menarik-narik rambutnya. Segera bunyi berdetap-detup menerpa masuk ke dalam telinga. Serentak sakit yang teramat nyilu itu menyelinap ke setiap saraf sehingga mencengkam pangkal otak dan merenggut tangkai jantungnya. 
     Sesungguhnya, Soh tidak salahkan mereka yang membawa ideologi perubatan tradisional yang mengatakan orang yang bertarung dengan rajuk tubuh harus mencari penawar, mereka yang dicengkam sarkoma Ewing wajib kembali sihat dan hidup normal. Ideologi perubatan tradisional yang mereka sebar luaskan bertentangan dengan prinsip perubatan moden yang digenggam oleh Soh. Prinsip perubatan moden yang menjadi tonggak sumpah amanah Soh mendahulukan permintaan pesakit dan tiada paksaan. Cuma, Soh terkesima dengan ideologi perubatan tradisional yang begitu pekat dan likat membalut jiwa warga Desa Sentah sehingga mereka sanggup tawar-menawar semata-mata untuk mendapatkan penawar. Mereka begitu fanatik dengan penawar bagai seekor anjing mengejar bayang-bayang di kala senja menjenguk.
     “Entah apa mantera yang merasuk minda mereka sehingga kehidupan orang tidak sihat dilihat seperti tiada pilihan. Sembuh atau sembuh. Pilih satu! Begitulah pilihan yang mereka tawarkan!” gerutu Soh sendirian.
     Mungkin ideologi tradisional itu mulai bercabang sehingga terjadinya satu kerangka sosial yang baharu. Kerangka sosial yang meletakkan golongan yang memintal selumbar di dalam tubuh mereka terkurung di dalam sangkar yang berdindingkan persepsi, yakni golongan seperti Soh. Kerangka sosial itu pada pendapat Soh menjadi halangan utama yang menyekat pergerakan individu yang dicengkam kecacatan genetik untuk menjalani kehidupan dengan seadanya. Terlalu banyak kemungkinan di dalam kerangka ini sehingga melebarkan sayap kebarangkalian dan meleburkan sisa nikmat di atas muka bumi. Kerana itu, Soh yakin, bukan masalah kesihatan yang membatas langkahnya. 
     Untaian kata-kata warga Desa Sentah berterbangan seperti angin yang tidak pernah lelah mengisi apa-apa jua ruangan mahupun celah yang menyempitkan salur nafas Soh sehingga berlegar-legar di dalam kebuk mindanya. Tulang-temulangnya bagai dicabut satu demi satu. Soh tertunduk ketika kata-kata warga Desa Sentah menarah hatinya sehingga parah berdarah. Dari siang sehingga malam menjenguk, Soh cuba mencari jawapan namun sia-sia. Ya! Hanya usaha yang sia-sia seperti mencantumkan tulang-temulang yang retak berkecai yang akhirnya terlerai dari ligamen-ligamen yang tidak terdaya lagi mengikat tulang-temulang menjadi struktur penyokong badan.
     Soh membiarkan sekujur tubuhnya dibelai angin puyuh. Sekujur tubuhnya itu panas membahang seperti ditusuk ratusan anak panah berapi yang masuk menembusi dada dan singgah pada jantungnya. Pedih. Nyilu. Bukannya mereka tidak tahu Soh telah mencuba pelbagai kaedah rawatan – takana jukut, ampus ngaap, ngayuh ajukng, bepaus dan bekebo – rawatan tradisional yang gah. Namakan sahaja! Memang benar rawatan-rawatan itu Soh telah cuba atas saranan warga desa yang sihat. Tidak mungkin warga Desa Sentah tidak nampak usahanya untuk sembuh. Malangnya, Soh didesak dan diasak untuk terus mencari penawar. Adilkah begitu? Aneh bukan? Kedengaran seperti satu prejudis yang sistematik. Prejudis yang condong pada arah yang terpilih. Prejudis yang seperti selumbar menusuk ke dalam kulit dan menebuk tulang-temulang sehingga masuk ke dalam sumsum.
     ‘Haruskah aku berdiam diri? Atau haruskah aku menyelongkar sehingga ke pusat bumi untuk mencari penawar kepada penyakit ini?’ desis Soh di dalam hatinya.
     Soh sudah meneroka penyakit misteri itu sejak dua puluh tahun yang lalu. Berbekalkan teori moden dari wilayah Timur Tengah, wilayah yang diselaputi pasir, wilayah yang menjadi tapak Bani Umayyah, bani yang mengembangkan sistem perubatan moden di tengah-tengah padang pasir yang terasing daripada teknologi Yunani dan Rom sehingga lahirnya tokoh perubatan terkemuka dunia, Al-Razi. Pada ketika itu, Soh juga ingin menjadi sehebat Al-Razi, mencipta penawar dan menyembuhkan apa-apa sahaja penyakit. Tidak menoleh ke belakang, dia menghabiskan masanya di wilayah yang beribu kilometer dari daerah kelahirannya untuk memahami selok-belok tulang-temulang manusia. Daripada tulang tengkorak sehingga tulang metakarpus menjadi medan permainannya. Apa-apa sahaja yang mengganggu tulang-temulang, disingkirkan sehingga pesakit dapat kembali kepada kehidupan mereka yang disekat oleh penyakit yang menyerang struktur berkalsium itu. Namanya mulai tumbuh di bibir masyarakat dunia atas kehandalannya dalam menyembuhkan penyakit. Namun, pada dirinya sendiri tidak ditemui petanda-petanda yang merencatkan kehidupannya. 
     Jelas, penawar bagaikan dewa. Mereka yang berdewakan penawar akan mengejar apa-apa jua yang menjanjikan kesembuhan. Walau dengan apa cara sekalipun, mereka akan menggenggam lalu membenamkan penawar itu ke dalam tubuh mereka dengan harapan yang membuak-buak – tubuh mereka akan secergas bayi yang baru dilahirkan. Mereka yang mendewakan penawar, sentiasa menganggap orang yang bagaikan dirobek ususnya juga harus dengan penuh ghairah mencari penawar seperti mereka.
     Ya! Siapa tidak mahu bebas daripada penyakit? Siapa tidak mahu hidup seperti manusia normal? Bangun pagi menghirup teh o panas dihidangkan oleh sang isteri dengan sekuntum senyuman sambil menikmati matahari terbit membelai muka bumi atau membelek akhbar membaca berita sensasi tentang seseorang dari negara jiran menjahit mulutnya. Memang itu yang Soh impikan!
     Sesungguhnya, ideologi “penawarisme” (orang yang bertuhankan penawar) itu, pada pendapat Soh amat berbahaya, lebih-lebih lagi apabila dipelopori oleh mereka yang berpijak di atas debu atau mereka yang galut membuka luas dada mereka. Tidakkah mereka sedar jika ideologi itu terus berkembang akan terbentuknya laluan yang teramat licin, condong kepada ideologi purba Sir Francis Galton? Apakah mereka cuba menghidupkan semula ideologi purba yang membawa kepada penyusunan populasi manusia itu? Tahukah mereka akan kesan daripada penyusunan populasi manusia telah membawa kepada satu sistem yang mirip dasar aparteid? Sedarkah mereka keadilan sejagat telah dihumban ke dalam lembah kegelapan hasil penyusunan populasi manusia oleh watak nakal seperti Sir Francis Galton?
     Sudah puas Soh menuntut ahli “penawarisme” untuk menerima keadaan golongan yang sedang memujuk tubuh mereka untuk terus menari bersama waktu. Sudah banyak kali juga Soh memujuk hatinya untuk kekal bertenang menyambut tujahan soalan yang menerjah pangkal hatinya. Sungguh Soh tiada daya untuk menangkis soalan-soalan ahli “penawarisme” yang membadai benaknya sehingga dia terbongkok-bongkok di sudut bilik bertemankan dinding. Apakah penyakit sebahagian daripada hidup? Apakah penyakit menjadi satu simbol tentang penderitaan dalam kehidupan? Mengapa golongan yang sihat walafiat memaksa dan mendesak mencari penawar? Tidak layakkah golongan berpenyakit menikmati sisa hidup di atas bumi ini?
     Soh menghidap sarkoma Ewing, penyakit genetik kronik yang menyebabkan tulang-temulang mudah retak. Begitu pun, Soh tidak menyalahkan orang tuanya kerana dilahirkan bersama penyakit ini, bahkan jauh sekali menyalahkan takdir. Sejak dia mula mengenal abjad, Soh amat mengharapkan penyakit ini akan pergi, atau ada penawar sekurang-kurangnya bagi pelega jiwa, jika tidak pun secara fizikal. Namun, Soh juga tidak mahu menghabiskan setiap helaan nafasnya untuk mencari penawar. Dia tidak mahu menjadi hipokrit kepada tubuhnya sendiri kerana yang dia mahu ialah sebuah kehidupan berkualiti, bukan untuk hidup semata-mata. 
     ‘Apakah aku tidak layak menikmati kesembuhan? Sehingga bila aku perlu menghadam leteran para doktor mengenai penyakit ini? Benarkah makanan yang menjadi pahat beracun di dalam tubuhku? Bukankah aku sudah menuruti saranan pakar pemakanan untuk mengambil sayur-sayuran sahaja?’ bentak Soh di dalam hatinya.
     Untuk itu, Soh hanya makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sudah tentu tindak-tanduknya itu bukan kerana dia golongan antidaging, bukan juga kerana tuntutan agamanya. Dia cuma menuruti saranan pakar pemakanan demi menjaga tubuhnya, demi menjadi kembali sihat walafiat seperti yang diinginkan oleh pendokong “penawarisme”. Daging yang terhidang di atas pinggan Soh seakan-akan musuh yang melakukan serangan hendap melalui mulut, menelusuri tekak dan berkampung di dalam perutnya. Dan, lambat-laun akan mendatangkan penyakit lain, kanser umpamanya. Ah! Soh tidak mahu penyakit seperti itu. Cukup dengan sarkoma Ewing yang menggigit tulang-temulang sehingga saban hari tubuhnya seperti sehelai kertas yang basah.
     Kata-kata yang diungkapkan oleh para pakar perubatan itu berdengung-dengung lalu berpadu dalam kocakan perasaan tersinggungnya yang bertumpang tindih. Sejak azali lagi, memang matlamat utama Soh adalah untuk sembuh agar dia dapat menjalani kehidupan yang normal. Soh ingin kembali ke dewan bedah tanpa kesakitan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap ruang pekerjaan yang sering dia tinggalkan untuk memburu penawar. Jejak pemburuannya demi mencari penawar ada di Long Singut, Lio Mato, Tanjung Tepalit dan banyak lagi rumah-rumah panjang di kampung-kampung dalam daerah pedalaman Sarawak yang menjanjikan pelbagai jenis penawar. Soh ingin sembuh seperti orang lain supaya pembacaannya tidak terganggu dengan bunyi penggera menandakan waktu untuk makan ubat. Soh juga ingin menjadi tiang yang kukuh kepada bakal isterinya. Soh ingin menari rejang beuh dengan gagah pada hari bahagianya kelak.

 

     “Sampai bila aku harus memburu penawar?” soal Soh pada diri sendiri. Sungguh Soh juga ingin sembuh agar dia tidak lagi menjadi bahan jenaka segelintir masyarakat ketika melihat dirinya terbongkok-bongkok. Hati Soh remuk-redam seperti kaca dihempas ke lantai atau seperti tulang-temulangnya yang terlerai satu demi satu.
     Segera Soh berjumpa dengan seorang tukang urut tradisional. Soh menyampaikan hajatnya untuk mencari kesembuhan. Lalu, tukang urut itu bercerita akan seorang pesakitnya yang mengalami lumpuh bahagian kiri badan. Walau tidak mampu berjalan seperti manusia normal, pesakitnya itu masih mampu mengukir senyuman seperti manusia yang bebas daripada penyakit. Kata tukang urut itu, pesakitnya itu tidak menganggap dia lumpuh separuh badan sebaliknya hanya ada ketidaksempurnaan yang perlu ditangani. Soh terlopong mendengar cerita tukang urut itu. ‘Mungkinkah cara yang sama boleh aku guna? Adakah ini hanya permainan minda? Adakah ini bukan sarkoma Ewing tetapi hanyalah kesakitan pada otot?’ Soh cuba memujuk hatinya.
     Huh! Andai semudah menekan suis lampu limpah, Soh boleh lakukan bila-bila masa. Sudah tidak terhitung berapa banyak Oncovin dan Cytoxan dimasukkan ke dalam tubuh Soh untuk memperlahankan sarkoma Ewingnya. Tidak semena-mena, pernafasan Soh tersekat. Apakah ini tindak balas ubat seperti yang dikatakan oleh doktor pakar? Haruskah aku biarkan sahaja? Ah! Soalan-soalan itu menerjah dan menghimpit dada Soh. 
     “Kesihatan aku tidak penting,” gerutu Soh, “Aku risau tentang orang sekeliling yang menganggap aku tidak berusaha untuk sembuh.”
     Doktor kemudian memberi ubat antiradang sebagai penawar kepada masalah pernafasan. Mujur, setelah beberapa kali mengambil ubat antiradang, sendi-sendinya mula bertindak balas. Soh hampir tidak dapat menggerakkan tangan dan kakinya. Terlalu sakit seperti tulang-temulangnya digesel pada permukaan batu kerangan. Segera Soh berhenti mengambil ubat antiradang tanpa pengetahuan pakar perubatan. Terbukti, itu pilihan terbaik dan syukur, kaki dan tangan Soh dapat bergerak seperti biasa tetapi bukan tulang-temulangnya.
     Demi memuaskan nafsu golongan sang “penawarisme”, Soh segera pergi memburu penawar di daerah Lundu. Kata mereka, ia kaedah yang mujarab. Apa-apa sahaja penyakit dapat dihilangkan. Keghairahan Soh untuk sembuh telah berada pada satu puncak yang teramat tinggi. Soh bertemu dengan seseorang yang bergelar Pa’ Tenteng. Bidang tugas beliau adalah menyembuhkan penyakit-penyakit yang tidak kronik. Pada penglihatan Pa’ Tenteng, penyakit Soh ini tidak kronik. Syukur! Hati Soh berkembang mekar seperti kuntum bunga mawar ketika dipancar sinar matahari. Ketika dia bertemu dengan Pa’ Tenteng, Soh diserang selesema. Mungkin kurang rehat atau kurang pengambilan vitamin C. Untuk sesi penyembuhan, Pa’ Tenteng menyusun pinggan mangkuk seramik mengelilingi tempat duduknya lalu diketuk perlahan-lahan pinggan mangkuk seramik itu. Rentak yang dihasilkan sungguh merdu sehingga membawa Soh mengembara ke alam mimpi.
     Sebaik tersedar daripada tidur, Soh dapati memang benar. Selesemanya hilang sepenuhnya, tetapi tulang-temulang serta sendinya masih terasa seperti dikikis. Pa’ Tenteng tanpa menunggu lama, merujuk Soh kepada Pa’ Lenggang. Menurut Pa’ Tenteng, Pa’ Lenggang dikhaskan untuk mengubati penyakit yang serius seperti yang Soh alami. Cepat-cepat Soh menuju ke rumah Pa’ Lenggang yang lebih kurang 500 meter dari rumah Pa’ Tenteng. Sebelum ke rumah Pa’ Lenggang, Soh singgah di kedai runcit Bisak Enterprise untuk membeli beras, gula, ayam tua, kopi, garam kasar dan serbuk kunyit untuk upacara penyembuhan. Upacara berlangsung sehingga langit bertukar merah pucat, sepucat muka Soh yang kelesuan memburu penawar. Selesai upacara itu, Soh pulang ke rumah dan meneruskan kehidupannya dengan sarkoma Ewing yang masih setia menemani hayatnya yang menjangkau tiga puluh lima tahun.
     Akhirnya, otak Soh mencapai tahap maksimum fungsinya, seperti tulang-temulangnya juga bakal mencapai tempoh maksimum melindungi organ dalaman badannya. Bagaikan penyakit sarkoma Ewing tidak memadai menjerut salur nafasnya, Soh didiagnos pula dengan penyakit kemurungan. Dunianya seakan-akan menjadi statik. Otaknya berdenyut kencang. Soh dirujuk ke Hospital Kota Sentosa untuk rawatan lanjut. Mujur ia belum mencapai tahap yang kritikal. Soh kemudian diberi ubat antidepresi.
     “Wahai penyakit, mengapa suka sangat dengan tubuh ini? Tidak bolehkah ditinggalkan tubuhku ini yang seperti ranting-ranting kering?” ujar Soh perlahan sambil mengusap lengannya.
     Sehingga kini, ujian demi ujian dijalankan ke atas tubuh Soh untuk mencari punca penyakit sarkoma Ewing yang menyerang fizikal dan kemurungan yang menyerang mentalnya. Duit simpanan dalam tabung amanah dan deposit kekal hampir kontang demi memburu penawar. Magnetic Resonance Imaging (MRI) seperti menjadi selimutnya. Kulitnya semakin kering dan menipis dikikis sinaran gama. Setiap kali sesi perundingan, saluran darahnya dicucuk untuk mengambil sampel darah. Darah itu kemudian dibawa ke makmal untuk dihitung sel darah merah, darah putih dan platelet. Sudah puas Soh bertanya kepada doktor, untuk apa menghitung sel-sel darah dan platelet, namun jawapan doktor tetap sama, untuk mencari penawar.
     Cukup! Soh sudah penat dicucuk dengan jarum picagari. Soh sudah muak diasap-asapkan oleh kepulan kemenyan. Soh sudah mencuba pelbagai kaedah dan penawar. Soh mengorbankan wang dan masa demi memenuhi tuntutan orang sekeliling bahawa – orang sakit harus sembuh. Soh tahu, penyakit sarkoma Ewing bukan mudah untuk sembuh, tulang-temulang yang rapuh akan larut di dalam darah dan keluar bersama air kencing. Soh pernah membaca ratusan artikel dalam Jurnal Kesihatan Sedunia mengenai penyakit sarkoma Ewing ini. Tisu-tisu pada otot akan mengecut dan membawa kepada radang tisu. Keadaan ini akan berterusan. Ubat-ubat ciptaan manusia tidak mampu menyembuh, hanya mampu memperlahankan keradangan tisu. Cadangan ibu dan ayah untuk mendapatkan rawatan di wilayah bersalut pasir juga seperti paluan gong perang. Paluan yang bergema tetapi akhirnya larut dalam tiupan angin lintang. Pendek kata, hanya keajaiban dapat menyembuhkan. Namun, Soh akan segera mendapatkan rawatan jika ada rawatan yang benar-benar mujarab atau ada ubat yang pasti dapat menyembuhkan. Jika peluang sedemikian menjelma, tidak akan Soh sia-siakan. Ini sumpah Soh. Lalu, untuk yang terakhir kalinya, Soh ingin cuba untuk menerima penyakit sarkoma Ewing seadanya. Mungkin itu penawar yang terbaik buat masa ini. Soh juga berharap golongan “penawarisme” menerima ketidaksempurnaan yang ada pada dirinya. Biarlah. Apa-apa pun, Soh sudah tidak mahu dan tidak akan membazir sisa-sisa masa yang dia ada untuk memburu penawar yang belum pasti. Soh ingin hidup dalam sebuah kehidupan yang tidak perlu berteka-teki, cuba-mencuba atau mengejar, jauh sekali meminta-minta.
     “Tut!” bunyi serta getaran telefon bimbit merentap lamunan Soh. Soh menarik nafasnya dengan dalam. Matanya dibuka luas dan menatap siling biliknya. Dia memusingkan kepala ke arah telefon bimbit yang masih bergetar. Cepat-cepat Soh mencapai telefon bimbit itu. Berpuluh-puluh pesanan ringkas menunggu untuk dibuka dan dibaca. Segera Soh bangkit. Dia menggerakkan kakinya. Dia mengangkat tangannya ke atas. Kemudian dia menolak tangannya ke belakang. Soh kehairanan.
     “Ke mana perginya kesakitan ini? Mengapa aku merasa lebih cergas dari semalam?” ujar Soh sambil menjengket berkali-kali. Betapa hatinya berbunga-bunga. Dadanya terasa ringan untuk pertama kalinya sejak dia mendapati dirinya menghidap penyakit sarkoma Ewing yang dijangka memendekkan hayatnya.
     Dalam peti masuk telefon bimbitnya, Soh menekan butang “padam secara kekal!” 
     Dan, untuk sekian kalinya dia merasakan satu ketenangan yang meresapi jauh ke dalam jiwanya.

 
 
Advertisement