Anda di sini

Terkesan kejadian pecah rumah, penghuni minta polis tingkat rondaan

Advertisement
 Keadaan rumah pasangan pensyarah yang bersepah selepas dimasuki pencuri.
RUGI: Keadaan rumah pasangan pensyarah yang bersepah selepas dimasuki pencuri.

KOTA KINABALU: Penghuni di sebuah taman perumahan yang terletak di Jalan Tuaran By-Pass meminta pihak polis untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan perumahan serta kawasan sekitar.

Gesaan ini susulan kejadian sebuah rumah milik pasangan pensyarah dipecah masuk sekumpulan penjenayah Isnin lalu semasa penghuni tidak berada di rumah terbabit berikutan pemilik rumah turun bekerja.

Menurut sumber, pemilik di beberapa rumah lain juga bimbang dan sentiasa dalam ketakutan berikutan bimbang rumah mereka bakal menjadi sasaran penjenayah selepas ini.

Beliau berkata pihak penjenayah menjalankan kegiatan pecah masuk rumah secara terancang dan berleluasa kerana jenayah terbabit dilakukan pada siang hari semasa pemilik rumah keluar bekerja.

“Mereka mengambil kesempatan untuk memecah masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat pagar rumah sebelum memecahkan pintu gril serta pintu utama sebelum melarikan barangan berharga.

“Pasangan pensyarah ini kerugian puluhan ribu ringgit selepas barangan di setiap pelosok rumah dibongkar dan dicuri.

“Penjenayah turut melarikan sebuah kenderaan jenis kompak milik mangsa,” katanya.

Tambahnya kejadian hanya disedari pemilik rumah semasa balik dari tempat kerja sebelum melihat keadaan rumah yang berselerak dan mendapati barangan berharga di rumah sudah tiada.

Beliau sebagai wakil kepada penghuni di taman perumahan itu meminta pihak polis untuk meningkatkan rondaan dalam usaha mengurangkan jenayah pecah rumah serta kerisauan penghuni berkenaan kegiatan jenayah ini.

Katanya mujurlah selepas laporan dibuat, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan menjalankan siasatan terperinci.

“Cubaan untuk memecah masuk rumah kerap kali disedari penghuni lain yang melihat kelibat orang luar berkelakuan mencurigakan sebelum membunyikan penggera menyebabkan individu terbabit beredar dari kawasan berkenaan.

“Terdapat juga kejadian dimana seorang kanak-kanak yang ditinggalkan berseorangan di rumah berjaya diselamatkan apabila penghuni rumah yang berada di luar kawasan perumahan dimaklumkan tentang cubaan pecah masuk ke dalam rumahnya melalui jiran sebelah.

“Tanpa membuang masa pemilik rumah itu segera meminta bantuan di media sosial sebelum orang ramai memberikan pertolongan dan penjenayah yang menceroboh masuk segera melarikan diri dari rumah mangsa,” katanya.

Tambahnya kejadian pecah masuk seolah-olah amaran yang menunjukkan keadaan keselamatan di kawasan perumahan itu berisiko tinggi.

“Kami harapkan pihak polis memberi perhatian terhadap perkara ini dan memperkasakan lagi rondaan serta operasi pencegahan jenayah di kawasan perumahan ini bagi melindungi nyawa dan harta benda penduduk di kawasan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement