Anda di sini

Gerakan koperasi semakin diterima baik di Malaysia

Advertisement

14,975 koperasi berdaftar, 7.03 juta anggota, modal syer dan yuran RM16.52 bilion, aset terkumpul RM156.18 bilion 

Siti Maimunah (dua kanan) bersama tetamu lain bergambar bersama para peserta di Lawas, semalam.
Siti Maimunah (dua kanan) bersama tetamu lain bergambar bersama para peserta di Lawas, semalam.

LAWAS: Gerakan koperasi semakin diterima baik di negara ini dengan merekodkan sebanyak 14,975 koperasi berdaftar di Malaysia, membabitkan 7.03 juta anggota.

Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni berkata, koperasi di Malaysia turut berjaya mengumpul modal syer dan yuran berjumlah RM16.52 bilion dengan nilai aset terkumpul sebanyak RM156.18 bilion.  

“Di negeri Sarawak pula, sehingga 30 Jun 2022 bilangan koperasi telah mencapai 1,129 buah dengan pendapatan berjumlah RM185.62 juta.

“Jumlah anggota pula adalah seramai 302,000 orang dengan jumlah syer sebanyak RM220.59 juta dan aset koperasi berjumlah RM629.11 juta dan data-data ini membuktikan gerakan koperasi diterima baik oleh masyarakat kita,” katanya pada Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi 2023 di sini, semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sarawak Earl Angah, Pegawai Pejabat Daerah Lawas Awangku Faizal Pengiran Jawa, Timbalan Pengerusi Perhubungan Angkasa Negeri Sarawak Majer Li dan Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak Mohamad Suandi Mortadza.

Siti Maimunah berkata lagi, bahagian Lawas mempunyai lebih kurang 51 koperasi. 

Katanya, sektor koperasi Sarawak berada di landasan yang baik untuk terus bergerak dalam pembangunan komuniti secara menyeluruh dan membantu sasaran kerajaan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat secara inklusif.

“Koperasi seperti mana institusi perniagaan yang lain, berusaha menjalankan aktiviti yang dapat memenuhi keperluan dan aspirasi anggotanya,” ujarnya.

Kata beliau lagi, IKMa sebagai badan peneraju pembangunan modal insan koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa berusaha memastikan gerakan koperasi di Malaysia tidak ketinggalan dalam semua aspek pendidikan dan latihan. 

“IKMa sentiasa berusaha merangka pelbagai program bagi memastikan gerakan koperasi terus kekal kompetitif dan berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks pada masa kini. 

“Pada tahun 2022, IKMa telah berjaya melatih seramai 35,042 peserta dengan 844 program,” jelasnya.

Program ini ujar beliau lagi, meliputi program pembangunan kepimpinan koperasi, program asas perniagaan koperasi, program bimbingan bersasar dan program belia dan masyarakat. 

“Impak program yang telah dilaksanakan kepada masyarakat ialah daripada 35,042 peserta ini, seramai 22,413 peserta dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam sektor koperasi, seramai 6,986 orang mengalami peningkatan tahap kompetensi dan profesionalisme dalam pengurusan dan selebihnya mengalami pemerkasaan modal insan dalam perniagaan dan sektor koperasi,” katanya.

Tambahnya selain daripada program latihan dan bimbingan koperasi, IKMa juga memastikan gerakan koperasi mendapat maklumat terkini melalui penyelidikan dan penulisan yang dilaksanakan oleh pegawai IKMa bersama pihak pakar dalam industri masing-masing.

  • oleh
  • Advertisement