Anda di sini

Tiada dendam dalam politik: Hajiji

Advertisement
 Hajiji ditemui media selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani.
SOKONGAN: Hajiji ditemui media selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani.

KOTA KINABALU: Tiada dendam dalam politik, hanya kepentingan untuk rakyat dan negeri Sabah jadi keutamaan kerajaan negeri sekarang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sokongan pelbagai pihak akan menambahkan lagi kekukuhan pentadbiran kerajaan negeri dalam konsep kerajaan perpaduan yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam politik ini janganlah dendam-dendam, yang penting untuk kepentingan rakyat dan juga Sabah.

"Itulah tujuannya pemimpin-pemimpin ini supaya fokus kepada penyatuan rakyat, perpaduan dan juga pembangunan negeri supaya aktiviti ekonomi bertambah rancak dan rakyat akan mendapat manfaat," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Dr. Zambry Abd Kadir mengenai pendirian parti itu untuk terus menyokong pentadbiran Hajiji.

Dalam pada itu ketika ditanya jika ada rundingan dibuat setakat ini daripada BN, Hajiji menjelaskan supaya tunggu dahulu.

Selain itu, pihaknya juga terbuka jika BN menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yakub Khan untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan kerajaan perpaduan di negeri ini.

"Kita tiada masalah, yang penting ia baik untuk rakyat serta negeri Sabah. Saya terbuka dalam hal seumpama ini kerana niat saya untuk sejahterakan rakyat dan satupadukan rakyat.

"Kita juga fokus kepada membangunkan negeri dengan pembangunan yang telah kita lancar dan juga program Sabah Maju Jaya (SMJ)," jelasnya.

Terdahulu, Zambry dalam kenyataannya Ahad lepas menetapkan untuk memberi sokongan dan mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Hajiji.

Katanya, pendirian berkenaan sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan dalam membentuk kerajaan perpaduan Malaysia.
 

  • oleh
  • Advertisement