Anda di sini

Mayat kanak-kanak ditemukan terdampar di tepi pantai

Advertisement
 Pasukan bomba terpaksa meredah lumpur sedalam tiga meter untuk mengambil mayat kanak-kanak berkenaan.
OPERASI: Pasukan bomba terpaksa meredah lumpur sedalam tiga meter untuk mengambil mayat kanak-kanak berkenaan.

TAWAU: Mayat kanak-kanak perempuan berumur empat tahun ditemukan terdampar di tepi laut di Jalan Persisiran Traulsen, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Lydia itu ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira jam 1.37 petang, sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1.37 petang.

Katanya, mangsa merupakan suku Palauh yang tinggal dan tidur di kawasan kaki lima Kompleks Industri Ba Zhong, di sini.

“Menurut saksi ditempat kejadian iaitu ibu mangsa sendiri, dia menyedari ketiadaan anaknya kira-kira jam 4 pagi.   

“Ibu mangsa berusaha mencari di sekitar kawasan berkenaan, namun  tidak menemui anaknya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Jasmin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan seorang kanak-kanak terdampar di tepi laut Jalan Persisiran Traulsen Tawau.   

“Mayat kanak-kanak berkenaan berjaya dibawa naik dari laut oleh pasukan bomba dan ibu mangsa mengesahkan jenazah itu adalah anaknya.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya terpaksa meredah lumpur sedalam tiga meter untuk mengambil mayat berkenaan.

“Pasukan bomba berjaya membawa naik mayat kanak-kanak berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.16 petang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement