Anda di sini

BN sokong pimpinan Hajiji

Advertisement
HAJIJI (kiri), ZAMBRY (kanan)
HAJIJI (kiri), ZAMBRY (kanan)

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Malaysia mengambil ketetapan untuk memberi sokongan dan mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan di negeri ini di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Setiausaha Agung BN Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendirian berkenaan sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan dalam membentuk kerajaan perpaduan Malaysia.

Katanya, sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

Menurutnya, ia termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah.

"BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan.

"Ia sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui kerajaan perpaduan Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yakub Khan untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan kerajaan perpaduan di negeri ini.

Pada 11 Januari lepas, Hajiji melalukan rombakan dalam Kabinet negeri dengan memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri digantikan oleh ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III selain turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya iaitu jawatan sama dipegang Bung Moktar sebelum ini.

Turut digugurkan dalam senarai berkenaan adalah Yakub yang sebelum itu memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta seorang lagi ADUN BN-UMNO Datuk Jafry Ariffin yang juga mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Kemasukan ADUN PH dalam Kabinet negeri juga bertujuan mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang bersifat inklusif.

Sebelum itu, BN Sabah yang diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri kerana hilang kepercayaan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri.
 

  • oleh
  • Advertisement