Anda di sini

7,000 wartawan meriahkan HPN 2023

Advertisement
 Presiden Jokowi ketika berucap merasmikan HPN 2023 di kota Medan.
BERSAMA INSAN PERS: Presiden Jokowi ketika berucap merasmikan HPN 2023 di kota Medan.

MEDAN (Indonesia): Kemuncak sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2023 kelmarin, mencetuskan semangat kebangkitan media dan kewartawanan arus perdana untuk kekal relevan di tengah persaingan digitalisasi.

Lebih 7,000 wartawan dan pengamal media hadir pada acara kemuncak sambutan di Gedung Serba Guna Pemprovsu di Jalan Williem Iskandar, kota Medan, dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Dengan tema "Pers Bebas Demokrasi Bermartabat", HPN 2023 merupakan sambutan terbesar pascsa pandemik COVID-19.
Sepanjang empat hari sejak Isnin, lebih 40 acara diadakan, temasuk persidangan, seminar dan sesi perbincangan mencakupi bermacam topik.

Antara yang menarik perhatian ialah Seminar Antarabangsa `Distrupsi digital dan tata ulang ekosistem media yang berkelanjutan' dan `Transformasi jurnalis menjadi pengusaha media di era digital.'

 Delegasi ISWAMI Malaysia merakam gambar kenangan di luar Gedung Serba Guna Pemprovsu di Jalan Williem Iskandar, kota Medan.
MERIAH HPN: Delegasi ISWAMI Malaysia merakam gambar kenangan di luar Gedung Serba Guna Pemprovsu di Jalan Williem Iskandar, kota Medan.

Pembicaranya terdiri pemimpin dan tokoh wartawan, antaranya Ketua Dewan Pers Indonesia, Ninik Rahayu, Ketua Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pusat, Atal Sembiring Depari, Ketua Pegawai Eksekutif Tribun Network, Dahlan Dahi dan penerbit serta editor dan anggota Local & Independent News Association (LINA) Australia, Nelson Yap.

Cabaran kewartawanan dan media arus perdana dengan platform digital menjadi topik hangat sepanjang persidangan.  

Di sebalik membawa kelebihan dan kebaikan, platform digital turut membawa bersama pelbagai cabaran baharu.

Seperti kata Atal:  "Teknologi digital menghadirkan kemungkinan-kemungkinan baharu yang mengiurkan untuk memproduksi konten, menciptakan interaksi dan menjangkau khalayak secara lebih intens." 

 Konsul Jeneral Malaysia DI Medan, Aiyub Omar (tengah) bersama Mokhtar (kiri) dan Endro (kanan) selepas menandatangani MoU itu.
METERAI: Konsul Jeneral Malaysia DI Medan, Aiyub Omar (tengah) bersama Mokhtar (kiri) dan Endro (kanan) selepas menandatangani MoU itu.

Justeru, usaha perlu diperkasa bagaimana memanfaat kemajuan teknologi dan platform digital ini bagi mendapatkan `kemenangan dan keberuntungan ekonomi bersama' tanpa mengabaikan nilai dan integriti dalam persekitaran dunia tanpa sempadan.

Pada acara kemuncak sambutan HPN, Presiden Jokowi turut menzahirkan keprihatinannya kepada industri media, yang dilihatnya `sedang tidak baik-baik sahaja' (dalam keadaan tidak baik).

Isu utama media kini bukanlah soal kebebasan, tapi mencakupi soal kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dalam sosial media, serta algoritma raksasa digital juga cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata.

"... saya ingin mengatakan bahwa dunia pers (media) tidak sedang baik baik saja. Saya ulang, dunia pers sedang tidak baik-baik saja

 "Dulu isu utama dunia pers adalah kebebasan pers. Sekarang apakah isu utamanya tetap sama? Menurut saya sudah bergeser (berubah), kerana kurang bebas apalagi kita sekarang ini?” kata Jokowi ketika merasmikan HPN 2023.

Jokowi berkata media ketika ini adalah meliputi seluruh media informasi yang tampil dalam bentuk digital.

"Semua orang bebas membuat berita sebebas-bebasnya," katanya.

Sebaliknya, Joko Widodo berkata, isu utama dunia media atau kewartawanan  ketika ini berkaitan pemberitaan yang bertanggung jawab.

Jokowi berkata kebanjiran berita dari media sosial dan media digital lainnya, termasuk platform-platform asing yang tidak memiliki redaksi atau dikendalikan artificial intelligence. 

Selain itu Jokowi berkata algoritma raksasa digital juga cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata.

“Algoritma raksasa digital cenderung mementingkan kepentingan sisi (aspek) komersial saja dan hanya akan mendorong konten-konten recehan (tidak penting) yang sensasional," katanya.

 Lichong (kanan) menyerahkan senaskah `Nusantara, Jiran Sepulau' kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Aiyub Omar.
INFORMASI: Lichong (kanan) menyerahkan senaskah `Nusantara, Jiran Sepulau' kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Aiyub Omar.

Sempena sambutan HPN, delegasi 23 anggota Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) hadir dengan diketuai Presiden, Datuk Mokhtar Hussain.

Dalam temuramah dengan Antara ketika menghadiri sambutan itu, Mokhtar mengucapkan selamat untuk wartawan Indonesia, yang merayakan HPN tahun ini.

“Selamat dan sukses kepada seluruh insan pers Indonesia untuk terus menempa keberhasilan dalam perjuangan menegakkan kebebasan pers menuju menyuburkan demokrasi dan kesejahteraan bangsa,” katanya.

Mokhtar juga menyampaikan syabas kepada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) dan Dewan Pers atas komitmen tinggi mengadakan HPN setiap tahun yang menyediakan ruang untuk membahas berbagai tantangan media di masa depan. 

Sementara itu, Atal dalam ucapannya di hadapan Presiden Jokowi turut menyatakan penghargaan dan apresiasi dengan kehadiran ISWAMI Malaysia.

Beliau juga menyatakan HPN 2023 memang merupakan pesta bagi insan pers, namun di Medan, semua kalangan, dari Presiden hingga rakyat ikut merasakan pesta tersebut.

HPN Sumatera Utara (Sumut) dimeriahkan dengan kegiatan yang bersifat edukatif, pengembangan ekonomi daerah dan  acara hiburan. 

Dalam pada itu, ISWAMI Malaysia dan Persatuan Wartawan Indonesia cabang Kalimantan Timur (PWI KALTIM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) sempena sambutan HPN 2023.

 Mokhtar bersama Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dan sebahagian delegasi ISWAMI Malaysia ketika menghadiri perasmian HPN 2023.
SEMANGAT: Mokhtar bersama Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dan sebahagian delegasi ISWAMI Malaysia ketika menghadiri perasmian HPN 2023.

MoU tersebut adalah berkenaan kerjasama strategik dalam pertukaran maklumat antara kedua-dua persatuan itu.

Perjanjian itu ditandatangani Presiden ISWAMI, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua PWI Kaltim, Bapak Endro S Effendi.

Turut hadir menyaksikan MoU itu ialah Konsul Jeneral Ke-12 Malaysia Medan, Aiyub Omar; Penasihat ISWAMI Malaysia, Datuk Zakaria Abdul Wahab; Timbalan Presiden Iswami Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya; Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan bekas Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid.

Penyerahan dibuat selepas jamuan tengah hari ISMAWI di sebuah restoran di kota Medan.

Selesai acara itu, Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui menyerahkan senaskhah `Nusantara, Jiran Sepulau' kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Aiyub Omar.

Manuskrip 20 halaman itu adalah kompilasi catatan-catatan beliau mengenai hubungan Malaysia-Indonesia.

Antara yang dimuat termasuk hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Jokowi ketika lawatan rasmi ke Jakarta bulan lepas.

Ia turut memuatkan artikel mengenai HPN dan kisah perjalanan Lichong mengembara seluruh Kalimantan selepas Presiden Jokowi mengumumkan perpindahan Ibu Kota Negara (IKN) Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur (Kaltim) yang kemudian dinamakan sebagai Nusantara.
 

  • oleh
  • Advertisement