Anda di sini

Projek Semawang-Kuala Gum-Gum rancakkan pembangunan Libaran

Advertisement
 Suhaimi (dua kiri) melawat tapak projek bersama Riny dan kontraktor.
LAWAT: Suhaimi (dua kiri) melawat tapak projek bersama Riny dan kontraktor.

SANDAKAN: Projek jalan baharu yang bakal dilaksanakan dari Kampung Semawang ke Kuala Gum-Gum, bakal merancakkan pembangunan di kawasan Parlimen Libaran dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata, projek jalan baharu tunggal dua lorong sepanjang 19.9 kilometer yang membabitkan peruntukan lebih RM213 juta itu akan dilaksanakan tahun ini.

“Sebuah jambatan baharu sepanjang 577.4 meter turut dibina dan akan menjadi mercu tanda Parlimen Libaran, selain terpanjang di Sabah.

“Projek tersebut dijangka siap dan boleh digunakan orang ramai pada penghujung tahun 2025,” katanya semasa lawatannya ke tapak projek di sini hari ini.

Suhaimi turut meminta pihak kontraktor agar membaiki jalan asal ke Kampung Semawang yang kini mengalami kerosakan, sementara menunggu pembinaan jalan itu siap sepenuhnya.

“Jalan yang sedia ada itu merupakan laluan utama penduduk kampung dan ke sekolah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, projek yang terletak di persisiran pantai itu juga dapat membantu pengembangan ekonomi penduduk setempat dan memudahkan hasil agro makanan dihantar ke pusat bandar.

“Laluan ini juga akan menjadi jalan rentas pelancong ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary Batu 19, manakala jambatan baharu berkenaan bakal menjadi tumpuan pemancing,” katanya.

Turut hadir, Jurutera Kerja/Bahagian Projek Jabatan Kerja Raya (JKR)  Sandakan, Riny Susilawati Haji Hamdan;  Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran Zaini Tiksun dan wakil kontraktor.

  • oleh
  • Advertisement