Anda di sini

Kerajaan persekutuan diseru bantu biayai penubuhan premis PKS di Sarawak

Advertisement
Awang Tengah, Ewon (kanan) dan Malcolm serta yang lain merakamkan kenangan sebelum sesi taklimat. – Gambar Chimon Upon
Awang Tengah, Ewon (kanan) dan Malcolm serta yang lain merakamkan kenangan sebelum sesi taklimat. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memohon kerajaan persekutuan membantu membiayai penubuhan premis perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

Beliau berkata, selain menyediakan premis untuk industri berat, Sarawak juga mahu memberi tumpuan kepada pembinaan kawasan industri dan premis perniagaan untuk PKS, termasuk di kawasan luar bandar.

"Sebab itu, kita mahu kerajaan persekutuan memberi peruntukan untuk mewujudkan dan menubuhkan premis ini.

"Ini penting kerana selama ini kawasan perindustrian atau premis perniagaan bagi PKS di sini kebanyakannya dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Jadi sudah tiba masanya kerajaan persekutuan meneliti perkara ini. Umum mengetahui bahawa PKS merangkumi kira-kira 98 peratus daripada penubuhan perniagaan, malah merupakan tunjang ekonomi negara kita," ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan turut menegaskan penubuhan premis perniagaan untuk PKS di Sarawak adalah sesuatu yang perlu diberi tumpuan oleh KUSKOP.

Beliau berkata selain itu, Sarawak juga mahu melihat penambahbaikan, terutama dari segi penyelarasan antara semua agensi pembangunan usahawan sama ada di peringkat negeri dan nasional.

Tambahnya, Sarawak mempunyai jawatankuasa penyelarasan pembangunan usahawan yang menyelaras semua program pembangunan usahawan seperti menyediakan infrastruktur asas, premis perniagaan dan kawasan perindustrian untuk PKS.

"Kita juga mahu semua agensi di bawah KUSKOP menyelaraskan program nasional seperti bantuan kewangan, latihan kemahiran untuk PKS di bawah kita.

"Selain itu, kita perlu membangunkan program untuk membantu PKS mempromosikan dan memasarkan produk mereka, terutamanya secara dalam talian.

"Kita tidak boleh hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja. Itu tidak bagus. Kita mahu melihat pembangunan dalam sektor PKS terus ditambah baik atau dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat Ewon Benedick dan rombongannya.

Dalam pertemuan itu, beliau memberi taklimat kepada Ewon berhubung perkembangan usahawan di Sarawak.

Beberapa cadangan penambahbaikan, resolusi dan kerjasama juga telah dicadangkan kepada KUSKOP untuk manfaat usahawan di Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dzulkornain Masron dan pegawai kanan KUSKOP.
 

Advertisement