Anda di sini

PKS Sabah jamin jalinan komunikasi lebih baik diantara usahawan dengan kerajaan

Advertisement
 Foo (enam kanan), Phoong (lima kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.
ALBUM: Foo (enam kanan), Phoong (lima kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah akan memastikan wujudnya satu proses komunikasi lebih baik diantara PKS dengan kerajaan negeri.

Presiden PKS Sabah Datuk Prof Foo Ngee Kee berkata, beliau akan memanfaatkan keahliannya dalam Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) bagi memudahkan lagi interaksi diantara komuniti usahawan dengan kerajaan.

"Saya dilantik sebagai ahli SEAC pada Januari lalu atas cadangan oleh Pengerusinya Tan Sri David Chu. Ini merupakan satu penghormatan kepada saya dan juga kepada PKS Sabah.

"Saya berterima kasih kepada Tan Sri David atas kepercayaan beliau kepada saya. Saya berharap dengan pelantikan ini dan sebagai Presiden PKS Sabah, saya mampu memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai pengantara diantara usahawan PKS dengan kerajaan, syarikat korporat serta syarikat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika di Majlis Makan Tengahari Chap Goh Mei PKS Sabah di sini, semalam.

Foo memberikan jaminan bahawa pihaknya akan memainkan peranan sebagai 'jambatan' diantara komuniti usahawan dengan kerajaan kerana ia merupakan salah satu daripada enam objektif persatuan berkenaan.

"Saya mendapati SEAC sangat aktif dan giat bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta berkaitan dengan memperkenalkan dasar ekonomi yang mesra pelabur, sekali gus menarik pelaburan ke Sabah.

"Dengan kepelbagaian inisiatif ini, PKS di Sabah perlu bersedia kerana banyak peluang perniagaan akan diwujudkan," katanya.

Foo juga menyeru komuniti usahawan agar terus bergerak maju untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing. Biarkan Pandemik COVID-19 menjadi sejarah dan cuba beralih ke arah penggunaan teknologi lebih berkesan, mempunyai kos berdaya saing dan sebagainya.

Beliau juga menasihatkan komuniti usahawan untuk mengambil peluang terhadap kepelbagaian pakej bantuan kewangan serta latihan yang disediakan kerajaan negeri khususnya Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, diperingkat persekutuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Kita bertuah bahawa kedua-dua kementerian ini dipimpin orang Sabah dan saya pasti kedua-dua Menteri ini akan memberikan yang terbaik untuk membantu PKS Sabah," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu komuniti usahawan di Sabah.

Beliau juga sedar bahawa wujudnya tanggungjawab besar dalam kementerian terbabit dan mengalu-alukan input dari kalangan usahawan khususnya berkaitan menarik pelabur di Sabah.

"Segala input dari kalangan komuniti usahawan sangat dihargai dan kita akan bersama-sama bergerak ke arah pembangunan Sabah serta kebajikan rakyat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement