Anda di sini

MIDF kekal berpendirian positif terhadap momentum jualan tinggi sektor automotif

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: MIDF Research (MIDF) telah mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor automotif Malaysia berdasarkan jangkaan bahawa jumlah volum industri (TIV) akan kekal tinggi, memandangkan pesanan tertunggak yang banyak dan momentum tempahan baharu masih kukuh.

Syarikat penyelidikan itu berkata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meletakkan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit pada 2023, iaitu 11 peratus lebih tinggi daripada rekod tertinggi 282,019 unit yang dicatat tahun lepas.

Memandangkan Perodua menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah TIV dalam industri automotif, TIV Perodua akan mempengaruhi keseluruhan industri, katanya.

“Selaras dengan prospek jualannya yang dijangka meningkat, Perodua menjangkakan TIV 2023 dalam industri tersebut akan melebihi 700,000 unit, lebih tinggi daripada unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 650,000 dan jangkaan kami sebanyak 678,000 unit,” kata MIDF dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF berkata tempahan tertunggak Perodua kini berjumlah 220,000 unit yang sudah membentuk 70 peratus daripada sasaran jualan 2023.

“Ini akan dirangsang lagi dengan pelancaran Axia baharu bulan ini. Lebih 90 peratus tempahan tertunggak adalah tempahan selepas cuti cukai, memberi petunjuk bahawa momentum permintaan asas yang kukuh walaupun cuti cukai tamat pada 30 Jun 2022,” katanya.

Selain itu, pandangan positif terhadap industri turut disebabkan oleh persekitaran pertukaran asing yang menggalakkan, menambah baik asas makro untuk meredakan inflasi, memperbaiki pasaran buruh untuk memacu penggunaan domestik dan pelancaran akan dipercepatkan berikutan kelewatan tahun lepas.

Selain itu, prestasi industri akan dirangsang oleh kadar normalisasi kadar faedah yang lebih beransur-ansur, katanya.

Firma penyelidikan itu berkata penggiat industri akan memasuki tahun 2023 dengan jumlah pesanan tertunggak enam hingga sembilan bulan yang kukuh dan merekodkan aliran masuk tunai bersih tinggi bagi menyokong dividen yang menarik serta potensi penggabungan dan pengambilalihan.

“Pilihan utama kami ialah UMW dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM5.00 sesaham, BAuto (TP: RM2.67) dan MBMR (TP: RM4.60),” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement