Anda di sini

Elak banjir kilat, 50 kawasan perparitan seluruh Sabah sudah dibersihkan

Advertisement
 Shahelmey mengedarkan topi keledar kepada penunggang motosikal semasa pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Teluk Dumpil Putatan.
KESELAMATAN: Shahelmey mengedarkan topi keledar kepada penunggang motosikal semasa pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Teluk Dumpil Putatan.

KOTA KINABALU: 50 kawasan perparitan di seluruh Sabah sudah dibersihkan bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian banjir kilat.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata tindakan ini dijalankan dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan serta jabatan terlibat.

“Kejadian banjir kilat ini disebabkan oleh taburan hujan yang agak tinggi bagaimanapun terdapat faktor lain yang menyebabkan kejadian ini seperti sistem perparitan yang tersumbat selain perancangan atau pembinaan yang tidak berkolaborasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Sistem perparitan yang tersumbat dan dipenuhi lumpur di 50 kawasan di seluruh Sabah sudah dibersihkan yang mana sebelum ini menjadi salah satu daripada faktor ini berikutan kapasiti sebenar parit yang berkurang menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Teluk Dumpil Putatan semalam.

Menurutnya perancangan lanjut bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab dengan sistem perparitan juga sudah dilaksanakan bagaimanapun disebabkan pelaksanaan yang berfasa menyebabkan terdapat gangguan perancangan terhadap pelan mitigasi banjir dan sebagainya.

Sementara itu Shahelmey berkata setakat ini pihaknya masih dalam proses berterusan dalam mendapatkan maklum balas daripada jurutera di kawasan terjejas berkenaan status prasarana yang terjejas akibat banjir.

“Memang ada kerosakan seperti di kawasan utara Sabah membabitkan jalan terputus, jalan hanyut, tanah runtuh dan sebagainya yang mana pihak jurutera akan sentiasa peka dalam tempoh berlakunya bencana.

“Kita juga berterusan melaksanakan pembaikan dan menyelesaikan masalah membabitkan kerosakan prasarana mengikut situasi semasa,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kementeriannya belum mendapat sebarang kelulusan projek bernilai RM50 juta yang diluluskan kerajaan negeri berikutan mekanisma itu sedang diselaraskan antara pihak negeri dan persekutuan. 

“Saya difahamkan satu bengkel akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan segala perkara yang diperlukan dapat dipatuhi sebelum pelaksanaan projek-projek RM50 juta diluluskan di Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement