Anda di sini

MOTAC bekerjasama dengan Polis Sarawak untuk rancakkan lagi industri pelancongan

Advertisement
Tiong mendengar taklimat daripada Mohd Azman dan Mancha semasa lawatan kerjanya.- gambar oleh Chimkn Upon.
Tiong mendengar taklimat daripada Mohd Azman dan Mancha semasa lawatan kerjanya.- Gambar oleh Chimon Upon.

KUCHING:  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjalin kerjasama erat dengan Polis Sarawak untuk merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Polis Sarawak diterajui Pesuruhjaya Polis Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri sangat prihatin dalam membantu kementerian tersebut terutama daripada faktor keselamatan.

Justeru, beliau amat berterima kasih dengan usaha tersebut dan mohon lebih banyak pihak dapat memberi kerjasama terutama dalam mempromosikan industri pelancongan.

"Pesuruhjaya Polis kita sangat prihatin dalam membantu MOTAC dan pada pagi ini saya telah diberi taklimat mengenai keadaan di negeri ini serta kekurangan yang perlu diperbaiki atau dinaik taraf.

"Saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dibuat oleh Polis Kontinjen Sarawak dan berharap agensi lain juga dapat bersama-sama memainkan peranan untuk merancakkan industri pelancongan," katanya kepada pemberita.

Beliau terdahulunya mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjan (IPK) Sarawak hari ini.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pengguna media sosial supaya bersama-sama mempromosikan pelancongan di negeri ini.

"Janganlah asyik memuat naik benda yang negatif sahaja, sebaliknya muat naiklah benda-benda yang menarik agar dapat menarik lebih ramai pelancong," katanya.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya ada meminta tambahan anggota polis untuk unit pelancong di seluruh negeri.

"Kita memang minta tambahan anggota untuk Polis Pelancong dan ia termasuk di Sibu serta Bintulu atau mana-mana lokasi lain di seluruh Sarawak," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan pegawai-pegawai kanan Polis Kontinjen Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement