Anda di sini

300 pelajar di Kadamaian terima kelengkapan sekolah sumbangan UDA

Advertisement
 Ewon merakamkan gambar album bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada UDA yang diadakan di SK Tamu Darat.
ALBUM: Ewon merakamkan gambar album bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada UDA yang diadakan di SK Tamu Darat.



KADAMAIAN: UDA Holdings Berhad (UDA) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares 'Back to School 2023@Sabah' di sini, hari ini.


Sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi program yang memanfaatkan seramai 449 pelajar dari 14 buah sekolah di dua kawasan iaitu Kadamaian dan Penampang.


Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam sekolah untuk persiapan bagi sesi persekolahan yang baharu.


Bagi kawasan Kadamaian, seramai 300 pelajar dari 10 buah sekolah terlibat dalam program UDA Cares yang turut disertai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dalam menyantuni komuniti setempat dengan menghulurkan sumbangan berupa bekas bekal makanan serta botol air minuman.


Majlis penyerahan sumbangan kepada 300 pelajar di Kadamaian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang diadakan  di Sekolah Kebangsaan Tamu Darat.


Ewon ketika ditemui berkata, inisiatif UDA itu mencerminkan komitmen Kementerian dan agensi dalam membantu komuniti memerlukan dan pada masa sama dijadikan sebagai contoh bagi menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Sr Mohd. Salem Kailany berkata, 'Program UDA Cares, Back to School 2023' tahun ini mengambil pendekatan baharu dengan menyantuni komuniti di Sabah.


Program tahunan ini katanya, turut diadakan di Johor, Pulau Pinang dan Kedah.


"Penganjuran program ini adalah langkah proaktif UDA bagi menyumbang kembali kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan kembali ke sekolah pada bulan Mac akan datang.


"Usaha ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti seterusnya dalam meniupkan semangat kepada semua pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu," kata beliau.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad; Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan UDA, Datuk Nordin Murat serta Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil.


Terdahulu, seramai 149 pelajar di kawasan Penampang telah menerima sumbangan serupa daripada UDA pada Selasa yang melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Longkogungon; SK Terian; SK Buayan dan SK Tampasak Togudon.


Tambahan itu, UDA turut menambahbaik tandas di Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.

  • oleh
  • Advertisement