Anda di sini

Remiro beraksi cemerlang bantu Sociedad rantai Real tanpa jaringan

Advertisement
Remiro (kanan) melompat untuk menampan keluar bola pada perlawanan Liga Sepanyol di antara Real Madrid dan Real Sociedad di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP
Remiro (kanan) melompat untuk menampan keluar bola pada perlawanan Liga Sepanyol di antara Real Madrid dan Real Sociedad di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, kelmarin. — Gambar AFP

MADRID: Penjaga gol Real Sociedad, Alex Remiro, beraksi cemerlang untuk mengecewakan Real Madrid ketika seri tanpa jaringan pada Ahad, memastikan Barcelona kini berkelebihan lima mata di singgahsana La Liga Sepanyol.

Selepas Barca menewaskan Girona pada hari Sabtu, Real memerlukan kemenangan untuk kekal kurang tiga mata di belakang dalam saingan kejuaraan liga namun Remiro beraksi cemerlang untuk mengekalkan pasukannya di belakang Real di tangga ketiga liga.

Vinicius Junior melihat tiga cubaannya ditepis Remiro, di antara cubaan lain Real Madrid ketika skuad kendalian Carlo Ancelotti beraksi memberangsangkan namun gagal menembusi pintu gol Remiro.

Sociedad, yang masih beraksi tanpa David Silva dan Mikel Merino, mengancam dengan serangan pantas tetapi Real mengawal permainan di Santiago Bernabeu.

Keputusan seri itu  meneruskan prestasi hambar Real Madrid pada tahun ini, semakin ketinggalan di belakang Barcelona dalam liga dan tewas kepada Barca di final Piala Super Sepanyol.

“Ia adalah salah satu perlawanan terbaik kami musim ini,” kata Ancelotti. 

“Ia benar Barca beraksi dengan sangat baik tetapi musim ini sangat  panjang. Bulan Januari sangat sukar bagi kami tetapi pasukan sudah meningkat dengan banyak dalam banyak bahagian, di pertahanan, serangan dan secara fizikal.

“Pemain semakin meningkat, pemain yang cedera akan kembali, jadi kami berasa yakin dengan beberapa bulan yang akan datang, kami  harus lebih berusaha pada separuh kedua musim.”

Real beraksi dengan yakin dalam separuh masa pertama dengan Vinicius dan Rodrygo sentiasa mencemaskan pertahanan Sociedad namun Remiro sentiasa menjadi benteng kebal terakhir yang sukar ditembusi.

Ancelotti menurunkan Eduardo Camavinga di posisi bukan kegemarannya di pertahanan kiri kerana masalah kecederaan pemain dan dia beraksi dengan memberangsangkan.

Namun cubaan demi cubaan pemain Real  berjaya dipatahkan oleh Remiro.

Penjaga gol Real, Thibaut Courtois, diuji buat kali pertama selepas satu jam permainan apabila dia menepis cubaan Takefusa Kubo.

Namun selain dari itu, Remiro adalah penjaga gol paling bekerja-keras untuk menafikan gol Real sehingga ke wisel penamat.

Pada perlawanan lain, Saul Niguez melakukan penyudah tenang untuk memastikan Atletico Madrid menang 1-0 di Osasuna.

Tersingkir dari Liga Juara-Juara dan Copa del Rey selain ketinggalan 13 mata di belakang Barcelona, kelayakan ke Liga Juara-Juara menjadi sasaran utama Atletico pada separuh kedua musim.

Atletico berasa kecewa selepas  tersingkir di suku akhir Copa del Rey pada pertengahan minggu dan cuba bangkit untuk memulihkan musim mereka.

Atletico membuka jaringan pada minit ke-74 menerusi Saul, pemain gantian mereka.

Saul bukan lagi pemain utama untuk jurulatih Diego Simeone tetapi dia mengambil peluang yang anda dengan menyempurnakan hantaran Rodrigo De Paul.

Simeone percaya pasukannya akan bangkit dari penyingkiran dari Copa del Rey apabila  tewas kepada Real Madrid.

“Kami mempunyai satu cara berfikir dan bekerja dan kelab mempunyai satu cara untuk enggan mengalah dan sentiasa berdepan dengan masalah yang kami hadapi,” kata jurulatih dari Argentina itu.

“Tiada motivasi lebih besar berbanding bermain untuk Atletico Madrid.”

Gol Iago Aspa juga membantu Celta Vigo menang tipis 1-0 ke atas Athletic Bilbao sementara gol tunggal Cyle Larin juga membantu Real Valladolid menang 1-0 ke atas Valencia. — AFP
 

Advertisement