Anda di sini

AMK saran semua pihak hulur bantuan kepada mangsa banjir

Advertisement
 AMK menghulurkan bantuan di salah sebuah PPS di sini.
BANTUAN: AMK menghulurkan bantuan di salah sebuah PPS di sini.

KOTA MARUDU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kota Marudu menyeru semua pihak agar tampil membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir khususnya di daerah ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kota Marudu Zaidi Jatil berkata itu termasuklah bantuan dari segi makanan dan minuman kepada mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS).

“Seperti sedia maklum, daerah ini terjejas teruk dengan banjir membabitkan seramai 4,789 mangsa daripada 1,731 ketua isi rumah (KIR) yang ditempatkan di 11 buah PPS.

“Saya menyeru dan mengajak semua pihak untuk bersama-sama membantu mangsa terjejas khususnya dari segi makanan dan minuman yang menjadi antara keperluan utama mangsa di PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa buah PPS di sini.

Zaidi yang juga Ketua AMK Sabah berkata pihaknya turut berharap agar kerajaan negeri dan Persekutuan turut sama membantu mangsa terjejas banjir ini.

“Saya berharap agar kerajaan negeri mahupun Persekutuan dapat membantu mangsa banjir di daerah ini termasuk Pitas melalui Bantuan Khas Tunai RM1,000 kepada setiap KIR.

“Kita faham ramai yang tidak dapat bekerja pada musim hujan ini ditambah lagi dengan banjir sudah tentu rakyat hilang pendapatan dan jika ada bantuan khas tunai mampu meringankan sedikit beban mangsa terlibat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata AMK Kota Marudu juga bersedia menjadi sukarelawan dan memberi bantuan sekiranya diperlukan.

Terdahulu dalam lawatan ke beberapa PPS, Zaidi turut menyerahkan bantuan seperti air mineral, minuman kotak, biskut dan keperluan lain kepada mangsa terjejas.

  • oleh
  • Advertisement