Anda di sini

Sarawak kukuhkan kerjasama dua hala dengan Brunei

Advertisement

Kerjasama itu termasuk isu persempadanan, pelancongan serta industri pertanian di antara Sarawak dan Brunei

Abang Johari (dua kiri) bersama Hajiji (kiri) menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Brunei semalam sempena lawatan rasmi ke negara itu. - Gambar Pejabat Premier Sarawak.
Abang Johari (dua kiri) bersama Hajiji (kiri) menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Brunei semalam sempena lawatan rasmi ke negara itu. - Gambar Pejabat Premier Sarawak.

"Sarawak ingin melanjutkan Program Pengembara Kerap Brunei-Malaysia (BMFTP) ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Merapok dan Sindumin untuk memudahkan pelancong ke Kota Kinabalu.” 

Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Sarawak akan terus mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Brunei Darussalam sama ada menerusi peringkat menteri mahupun Kumpulan Kerja Bersama di peringkat pegawai kanan kedua-dua pihak.

Pejabat Premier Sarawak (SPO) menerusi kenyataan hari ini berkata, kerjasama itu termasuk isu persempadanan, pelancongan serta industri pertanian di antara Sarawak dan Brunei.

"Sarawak ingin melanjutkan Program Pengembara Kerap Brunei-Malaysia (BMFTP) ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Merapok dan Sindumin untuk memudahkan pelancong ke Kota Kinabalu.

"Selain itu waktu operasi CIQS antara Sarawak dan Brunei untuk beroperasi semula seperti biasa iaitu dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.

SPO berkata, malahan kedua-dua negara akan meneroka proses digitalisasi di kedua-dua pusat pemeriksaan untuk mempercepatkan pergerakan pelancong.

"Kedua-dua negara menyegerakan kerja-kerja persempadanan dan ukur sempadan tanah antara Malaysia dan Brunei.

"Sarawak meminta Brunei mengurangkan kecerunan jalan antara CIQS Mengkalap, Sarawak dan Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Brunei bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," tegasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan daripada lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei Darussalam yang bermula hari ini.

Delegasi Perdana Menteri itu turut disertai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Cadangan atau usul berkenaan akan dibawa semasa menghadap Sultan Brunei yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Menurut pejabat Premier, Sarawak pada masa yang sama ingin mengukuhkan kerjasama dalam telekomunikasi untuk menyediakan ketersambungan dalam Sarawak dan Brunei serta pintu masuk antarabangsa.

Katanya, Sarawak menawarkan untuk membantu Brunei mencapai sasaran 10 peratus campuran penjanaan yang akan dikuasakan oleh tenaga diperbaharui menjelang 2035 di bawah inisiatif Perjanjian Paris.

Bagi kerjasama sektor pelancongan, negeri ini akan bekerjasama dengan Brunei untuk memajukan lagi industri pelancongan.

Ia katanya, melalui promosi dan acara pelancongan bersama serta mempromosikan Borneo sebagai destinasi pelancongan yang memanfaatkan Lapangan Terbang Brunei sebagai hab pelancongan antarabangsa bagi rantau ini. 

"Sarawak membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO)," katanya.

Sarawak akan bekerjasama dalam sektor pertanian dengan Brunei melalui inisiatif sektor swasta yang memberi tumpuan kepada padi, ternakan dan perikanan yang memanfaatkan kapasiti Sarawak sebagai hab pengeluaran dan pemprosesan, ketersambungan dan jenama Halal Brunei untuk pasaran Timur Tengah, menurut kenyataan itu.

"Sarawak mengalu-alukan pelaburan dari Brunei untuk aktiviti pembuatan dalam industri berteknologi tinggi di Kuching, aktiviti berkaitan halal di Tanjung Manis, industri minyak dan gas di Bintulu dan Lawas serta industri berat di Samalaju. 

"Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengalu-alukan pelaburan untuk membangunkan aktiviti hiliran minyak dan gas," kata SPO.

Sementara itu negeri ini mengalu-alukan Brunei untuk Pembangunan Sempadan Bersama di sepanjang lebuh raya untuk hartanah komersial dan taman perindustrian serta mempromosikan produk tempatan di peringkat global.

Tambahnya Sarawak sedang membangunkan perhubungan infrastruktur di wilayah utara dan akan disepadukan dengan rangkaian jalan raya Brunei. 

"Sarawak bercadang membina jalan baharu dari Lumapas (Brunei) ke Pendam (Limbang), yang akan disepadukan dengan Lebuh Raya Pantai Utara (NCH).

"Sarawak menawarkan untuk menjual kepada Brunei air mentah dan terawat untuk industri, pertanian dan kegunaan domestik," katanya.

Advertisement