Anda di sini

Sokongan 44 ADUN  berupaya bantu kerajaan jayakan aspirasi Sabah Maju Jaya: Limus

Advertisement
 Limus mengagihkan kotak limau kepada salah seorang peniaga yang ditemui di Pekan Kuala Penyu dalam program walkabout yang diadakan.
SEMANGAT: Limus mengagihkan kotak limau kepada salah seorang peniaga yang ditemui di Pekan Kuala Penyu dalam program walkabout yang diadakan.



KUALA PENYU: Sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diyakini mampu meneruskan agenda pembangunan yang dirancang menerusi hala tuju 'Sabah Maju Jaya'.


Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, kemelut politik yang berlaku sebelum ini telahpun dijelaskan menerusi sokongan 44 ADUN, justeru kepimpinan yang ada pada hari ini perlu meneruskan khidmat sehingga habis penggal.


"Syukur kemelut yang berlaku telah selesai dengan adanya 44 ADUN yang menyokong kepimpinan Hajiji. Ini membuktikan kesetiaan terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri yang telah merancang pelbagai agenda dalam 'Sabah Maju Jaya', " katanya ringkas.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Program Walkabout Tahun Baharu Cina 2023 di Pekan Kuala Penyu dan Menumbok, kelmarin.


Sempena program Walkabout itu, Limus mengagihkan limau dan kad 'angpau' kepada 11 tokong dalam kawasan Kuala Penyu dan Menumbok termasuk para peniaga serta masyarakat Cina yang ditemui semasa program tersebut.


Mengenai perayaan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu berharap tahun 2023 akan membawa rahmat dan rezeki kepada seluruh lapisan rakyat di negeri ini.

 Sambil mengagihkan kotak limau kepada peniaga, Limus turut beramah mesra dengan sebahagian masyarakat yang ditemui di Pekan Kuala Penyu.
MESRA: Sambil mengagihkan kotak limau kepada peniaga, Limus turut beramah mesra dengan sebahagian masyarakat yang ditemui di Pekan Kuala Penyu.


Beliau berharap orang ramai akan memanfaatkan tahun baharu 2023 untuk mengembangkan perniagaan masing-masing sekaligus bangkit pulih kembali akibat pandemik yang melanda negara beberapa tahun lalu.

Limus turut mengingatkan rakyat supaya terus berwaspada sentiasa walaupun negara telah memasuki ke fasa endemik kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada ancaman itu, justeru langkah berjaga-jaga perlu dipraktikkan demi kesejahteraan bersama.


Dalam pada itu juga, beliau turut berharap sambutan pelbagai perayaan yang diraikan nanti dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan diantara masyarakat pelbagai kaum, dengan memanfaatkan peluang untuk menjalin kembali silaturahim.


Selain kestabilan, perpaduan juga penting dalam memastikan negara terus bergerak ke hadapan yang secara tidak langsung berupaya menyumbang kearah pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi.
 

  • oleh
  • Advertisement