Anda di sini

Sabah unik dengan kepelbagaian budaya, perpaduan utuh

Advertisement
 Dr Jeffrey dan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat yang hadir pada majlis itu merakamkan gambar kenangan.
ALBUM: Jeffrey dan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat yang hadir pada majlis itu merakamkan gambar kenangan.



KENINGAU: Sabah unik berbanding dengan Semenanjung kerana setiap perayaan tidak kira sama ada Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari Raya dan Pesta Kaamatan disambut oleh lebih dari 30 suku kaum.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berharap sambutan perayaan yang diraikan oleh suku kaum masing-masing dapat mengukuhkan lagi keakraban sesama masyarakat majmuk bahkan memupuk perpaduan diantara semua lapisan generasi agar terus kekal subur.


“Di pihak kerajaan, saya berharap budaya ini dapat diteruskan kerana ianya dapat memupuk perpaduan kaum yang lebih erat lagi dalam kalangan kita semua agar lebih akrab dan memahami kebudayaan masing-masing.


"Tahun arnab mengikut kalendar Cina, secara ringkasnya adalah simbol umur yang panjang, keamanan dan kemakmuran dalam budaya Cina. Mereka yang lahir pada tahun arnab ini dikatakan tekun, berbakat dan bercita-cita tinggi.


"Bersesuaian dengan tahun arnab ini, saya berharap kita semua juga mendapat banyak kebaikan dan kemajuan yang akan dikecapi nanti, " katanya semasa berucap menyempurnakan Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina di Padang Bandaran Keningau di sini.


Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau turut berharap tahun arnab ini membawa tuah kepada masyarakat Cina di Keningau serta Sabah keseluruhannya.


"Mudah-mudahanlah negeri kita akan terus mencapai kejayaan demi kejayaan agar semua rakyat dapat menikmati kemajuan pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan.


"Bagi pihak kerajaan Sabah saya akan terus berjuang menuntut hak-hak Sabah sehingga menjadi kenyataan.


"Tahun lalu, kita telah berjaya mendapat kembali beberapa hak-hak Sabah dan tahun ini kerajaan akan terus berusaha ke arah itu agar Sabah akan mendapat hak kewangan yang secukupnya terutama sekali geran khas 40 peratus agar Sabah dapat dibangunkan setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.


Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub Aman; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng; Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Ketua-Ketua Bahagian Parti-Parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pejabat ADUN Tambunan, UPPM Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook dan Tulid, Ketua-Ketua Daerah, Ketua-Ketua Masyarakat Cina Keningau dan Tambunan.

  • oleh
  • Advertisement