Anda di sini

Kerajaan negeri sokong usaha pembangunan UCSF

Advertisement
 Hajiji (tengah) bersama tetamu kehormat lain serta para graduan merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Hajiji (tengah) bersama tetamu kehormat lain serta para graduan merakamkan gambar kenangan.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan oleh Universiti College Sabah Foundation (UCSF) menerusi Yayasan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan pimpinannya juga akan terus menyokong segala usaha UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran serta berkualiti, seterusnya menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini.

Menurutnya, dengan meterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Petronas dan UCSF pada Oktober 2022, merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha pembangunan modal insan di Sabah. 

“Melalui kerjasama ini, UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di kampusnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang pekerjaan sektor berkenaan. Hakikatnya bahawa polisi-polisi pengurusan bakat dan modal insan telah pun digubal dan akan terus menjadi keutamaan saya,” katanya ketika di Majlis Konvokesyen ke-2 UCSF di sini, hari ini.

Hajiji berkata, UCSF yang telah berusia lapan tahun dengan matlamat penubuhannya sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah yang bersifat memenuhi tanggungjawab sosial dan kemampanan.

Katanya, ia telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang mampu membanggakan masyarakat serta menyumbang dalam aspek pembangunan Sabah. 

 Hajiji (dua kanan) menyampaikan  Anugerah Tun Mustapha kepada Siaw Shing Pau Johnson Jenoven pada majlis berkenaan.
TAHNIAH: Hajiji (dua kanan) menyampaikan Anugerah Tun Mustapha kepada Siaw Shing Pau Johnson Jenoven pada majlis berkenaan.

“Saya berasa gembira kerana UCSF telah menyediakan peluang dan tempat kepada ramai pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"UCSF juga telah melahirkan ramai graduan yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan, khususnya dalam kalangan rakyat Sabah," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar UCSF meluaskan programnya dengan membuka mini kampus di Tawau selaras dengan usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam aspek akademik dan penyelidikan.

“Bagi memastikan UCSF terus cemerlang dan menjadi pilihan anak-anak kita, kerajaan negeri akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta sebagai geran penyelidikan pembangunan Sabah, kursus dan latihan kepada penjawat awam serta belia, dan projek perintis bagi pengeluaran batik botanic UCSF.

“Saya juga meluluskan cadangan penubuhan kursi akademik di UCSF yang diberi nama Kursi Pembangunan Sabah UCSF dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM5 juta. 

"Saya berharap dengan bantuan tambahan ini, UCSF akan terus cemerlang," tegasnya.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri ini di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, sehingga berjaya meraih hasil lebih RM6.6 bilion pada tahun 2022. 

Katanya, hasil yang dikutip itu merupakan prestasi terbaik kerajaan negeri selepas bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963, yang juga antara bukti kesungguhan kerajaan Sabah pada masa ini membangunkan negeri ini. 

Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga terus melaksanakan dasar kukuh bagi membawa lebih banyak pelaburan.

Hajiji berkata, dalam Belanjawan Negeri 2023 sebanyak RM175.61 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dan ICT menerusi pelbagai inisiatif bagi merangsang minat pelajar dalam Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Sains, Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM). 

Menurutnya, peruntukan itu juga untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar bagi meluaskan penerimaan digital dan memacu transformasi digital di Sabah.

Katanya, pembangunan ICT di Sabah juga akan diberi penekanan dengan Sabah Skills & Technology Centre akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membangun dan menyokong perkembangan industri digital, disamping meneruskan latihan teknologi Revolusi Industri 4.0 sepanjang tahun ini.

Hajiji berkata, Sabah Creative Economy and Innovation Centre juga akan meneruskan program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap.
 

  • oleh
  • Advertisement