Anda di sini

UMNO Sabah tetap relevan: Bung Moktar

Advertisement
 Bung Moktar bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan serta barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
CERIA: Bung Moktar bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan serta barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah kekal releven dan berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bukan atas restu UMNO Sabah yang telah pun sebulat suara menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 

"ADUN UMNO yang membelakangkan keputusan parti ini tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kepimpinan bahagian kecuali seorang berjawatan Timbalan Ketua Bahagian.

"Sementara yang lain hanya anggota biasa dan sebilanganya sudah dikenali sebagai pemimpin yang sering kali bertukar parti.

"Ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan UMNO Sabah, mereka yang lari lebih rela menyertai kepimpinan kerajaan yang tidak berparti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dangan Dunia Putra Kuala Lumpur semalam.

Bung Moktar berkata, tidak timbul isu UMNO atau Barisan Nasional (BN) cuba menggulingkan kerajaan, ini kerana menguling dan membentuk kerajaan merupakan dua tindakan yang berbeza.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, tujuan tindakan diambil sebelum ini adalah bagi memperbetulkan hala tuju politik, agar rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu dibangunkan.

“Mengguling ini bermakna dia membinasakan, jadi mesti ada definisi berbeza. InsyaAllah, kita bukan mengguling," katanya.

Menurutnya, perkara yang dilakukan oleh UMNO Sabah ialah untuk menentukan rakyat Sabah mendapat tempat dalam pemerintahan negeri pada ketika ini agar selaras dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Mengulas lanjut mengenai situasi politik di negeri ini Bung Moktar berkata, walaupun kelihatan tenang, pergolakan masih belum selesai.

“Politik ini tidak pandai selesai walaupun di Sabah sudah tenang tapi pergolakannya masih tidak selesai disebabkan pembentukan kerajaan pada peringkat awal adalah daripada UMNO dengan Perikatan Nasional (PN).

“Dan ini pun menjadi persoalan jadi tidak apa, orang mahu bermain politik kita main politik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib lima ADUN UMNO Sabah yang tidak menyokong keputusan parti menarik sokongan terhadap Hajiji, Bung Moktar menjelaskan perkara itu akan ditentukan kemudian.

“Ia akan ditentukan oleh parti dan kita tunggu apa yang parti boleh lakukan untuk kelima-lima yang bertindak diluar jangka ini.

“Kita belum usulkan kepada lembaga disiplin sebab ada proses-proses tertentu yang perlu kita ikuti,” katanya.
 

Advertisement