Anda di sini

Tingkat keupayaan tangani bot nelayan asing melalui bengkel bersama JICA

Advertisement
 Maritim Malaysia dan JICA merakamkan gambar kenangan semasa menjalani bengkel di KM Arau.
KERJASAMA: Maritim Malaysia dan JICA merakamkan gambar kenangan semasa menjalani bengkel di KM Arau.

KOTA KINABALU: Bengkel Illegal, Unreported dan Unregulated (IUU) Fishing serta United Nation Convention On The Law Of The Sea (UNCLOS) bersama Japan International Cooperation Agency (JICA) membantu meningkatkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menangani pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penganjuran bengkel ini adalah salah satu inisiatif dari pengisian memorandum persefahaman berkaitan Projek Meningkatkan Kapasiti Pendidikan dan Latihan serta Menggalakkan Kerjasama Antara Negara Jiran yang ditandatangani pada 2018 di antara Maritim Malaysia dan JICA.

“Bengkel yang dijalankan selama empat hari di Kapal Maritim (KM) Arau bermula pada 9 Januari lalu turut meliputi sesi latihan pengendalian peranti akustik jarak jauh (LRAD) di sekitar perairan Kota Kinabalu. 

“Latihan ini dilaksanakan bagi memahirkan pegawai dan anggota mengendalikan peralatan terbabit serta menguji jarak berkesan kepada bot suspek, terutamanya bot-bot yang menceroboh perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya peralatan tersebut juga berfungsi dengan cara mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan memberikan satu keadaan yang tidak selesa kepada pihak atau mangsa yang disasarkan.

“Peranti ini bertindak sebagai alat mengusir terhadap bot peceroboh yang enggan memberikan kerjasama serta bertindak agresif,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata Maritim Malaysia menerima empat LRAD hasil sumbangan daripada kerajaan Jepun semasa Majlis Perasmian Bengkel IUU Fishing dan UNCLOS serta Penerimaan LRAD pada 9 Januari lalu. 

“Keempat-empat LRAD ini akan ditempatkan di kapal-kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Maritim Malaysia yang beroperasi di sempadan perairan negara.

“Dengan adanya inisiatif bersama ini Maritim Malaysia yakin mampu meningkatkan keupayaan dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing serta mampu memperkasakan keselamatan perairan negara,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement