Anda di sini

KPDN gagal cubaan seleweng barang kawalan, sita 29,000 liter diesel

Advertisement
 Bekalan minyak diesel yang dirampas di dalam empat buah skid tank di kampung Lok Batik di sini.
SITA: Bekalan minyak diesel yang dirampas di dalam empat buah skid tank di kampung Lok Batik di sini.

TUARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tuaran berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam satu operasi.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDN Tuaran Saripuddin Moleng berkata serbuan di sebuah stor tidak bernombor di kampung Lok Batik di sini 12 Januari lalu membabitkan sejumlah 29,000 liter diesel bernilai RM107,000.

“Bertindak dengan maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDN kemudiannya menjalankan serbuan sebelum menemukan bekalan minyak diesel yang disimpan dalam empat buah skid tank.

“Turut dirampas pam elektronik yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM107,000.00,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata dua lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja stor di lokasi serbuan turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Berdasarkan keterangan awal daripada pekerja stor di tempat kejadian, barang kawalan tersebut  didakwa diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah. 

“Pekerja itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Untuk tindakan lanjut, kes ini disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Tambahnya siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Beliau berkata Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta akan diberikan kepada pihak syarikat sekiranya sabit kesalahan.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Katanya KPDN juga akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan terhadap barang kawalan di Tuaran bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement