Anda di sini

KD Todak selamatkan mangsa bot karam di perairan Kudat

Advertisement
 Krew KD Todak semasa menunda bot pam mangsa yang hampir karam ke kawasan selamat.
TUNDA: Krew KD Todak semasa menunda bot pam mangsa yang hampir karam ke kawasan selamat.

SANDAKAN: Seorang nelayan terselamat selepas bot yang dinaikinya karam dibadai ombak di sekitar Perairan Teluk Marudu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan dalam satu kenyataan di sini semalam berkata mangsa kemudiannya diselamatkan KD Todak yang sedang melaksanakan penugasan Operasi Sinar Samudera di perairan terbabit.

“Mangsa yang terapung dan melambai bagi mendapatkan pertolongan di kedudukan empat batu nautika Timur Bandar Kudat berjaya dikesan anggota pemerhati kapal di anjungan.

“Mangsa yang berada dalam keadaan lemah segera diselamatkan dan diberikan rawatan awal, makanan serta pakaian oleh krew kapal,” katanya.  

Tambahnya bot pam mangsa yang hampir karam turut ditunda ke kawasan selamat oleh KD Todak.

“Mangsa dibawa ke Pelabuhan Kudat dan seterusnya merujuk insiden kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa adalah warga tempatan dan semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anak perempuannya yang berumur 15 tahun ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Telaga Pitas kira-kira jam 4 petang.

“Bot yang dinaiki mangsa bagaimanapun mengalami kebocoran akibat dibadai ombak yang kuat. 

“Mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan berhampiran pada jarak empat batu nautika dalam tempoh lebih sejam sebelum ditemukan oleh KD Todak,” katanya.

Beliau juga mengingatkan seluruh warga maritim agar sentiasa meningkatkan kewaspadaan tentang keselamatan diri, penumpang dan harta benda ketika berada di laut terutamanya ketika musim monsun ini bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

  • oleh
  • Advertisement