Anda di sini

Pesta Satok mungkin kembali tahun depan selepas COVID-19 reda

Advertisement
Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama Fadillah serta yang lain selepas menghadiri program penyerahan biskut sempena perayaan Hari Krismas di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama Fadillah serta yang lain selepas menghadiri program penyerahan biskut sempena perayaan Hari Krismas di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pesta Satok mungkin akan diadakan semula tahun depan selepas keadaan COVID-19 benar-benar reda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, mereka perlu mempertimbangkan keadaan itu sebelum memutuskan untuk mengadakan semula pesta tersebut.

“Insya-Allah kita akan menganjurkan kembali Pesta Satok selepas keadaan COVID-19 reda, mungkin pada tahun depan.
“Sama ada bila, itu kita belum pasti, lebih-lebih lagi sekarang musim hujan.

“Bagaimanapun, sekiranya ada yang mahu membuka gerai sempena penganjuran Pesta Satok ini kita akan cuba usulkan perkara tersebut kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan biskut sempena Sambutan Hari Krismas yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof di Thompson Cafe, Jalan Nanas di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, setiap tahun mereka akan mengadakan Bazar Ramadan dan ia akan diteruskan tahun hadapan.

“Insya-Allah bermula bulan puasa nanti, reruai jualan di Bazar Ramadan Satok akan dibuka seperti biasa.

“Kemungkinan Pasar Satok juga akan dibuka nanti, kita akan cuba usulkan untuk mengadakan jualan pada hujung minggu terlebih dahulu. Kita lihat keadaan, tetapi ini memang dalam perancangan kita,” ujarnya.

Mengenai program penyerahan biskut Krismas, Ibrahim berkata, ia memang budaya di Sarawak untuk meraikan pelbagai perayaan bersama-sama.

“Semua perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan lain-lain perayaan disambut bersama-sama setiap tahun.

“Ini juga dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda supaya mereka dapat hidup dalam keadaan harmoni,” ujarnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement