Anda di sini

Ular sawa seberat 30 kilogram ditangkap dalam reban ayam

Advertisement
 Ular sawa batuk sepanjang lima meter berjaya ditangkap pasukan APM.
TANGKAP: Ular sawa batuk sepanjang lima meter berjaya ditangkap pasukan APM.

PENAMPANG: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menjalankan operasi menangkap seekor ular sawa batik di dalam reban ayam di Kampung Sekambu, Petagas di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata reptilia seberat 30 kilogram yang ditemui kekenyangan ditangkap kira-kira jam 10 pagi.

“Bertindak dengan panggilan kecemasan mengenai penemuan reptilia sepanjang lima meter berkenaan, lima anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi.

“Semasa ditangkap ular terbabit dipercayai  berada dalam keadaan kekenyangan selepas membaham seekor ayam di dalam reban berkenaan.

“Operasi menangkap ular terbabit mengambil masa kira-kira setengah jam,” katanya.

Beliau berkata walaupun reptilia itu tidak agresif ketika ditangkap, anggota berdepan kesukaran untuk mengeluarkannya berikutan saiz yang besar dan panjang.

"Pengalaman dan kecekapan anggota APM bagaimanapun berjaya menangkap dan mengeluarkan ular berkenaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Hazle berkata, ular sawa batik yang ditangkap itu berukuran panjang lima meter dan berat kira-kira 30 kilogram.

"Ular sawa berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.

"Operasi kemudian ditamatkan jam 10.48 pagi," katanya.

  • oleh
  • Advertisement