Anda di sini

Penganggur ugut bunuh bapa didenda RM5,000

Advertisement
 

KUCHING: Padah mengugut hendak membunuh bapa berusia 73 tahun, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Muhammad Nur Attirmidzi Ibrahim, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di kediaman mereka sekeluarga di Matang Jaya, Jalan Matang di sini sekitar jam 8 pagi pada 30 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba-tiba memarahi mangsa pada hari kejadian sambil meminta kunci motosikal daripada mangsa.

Mangsa bagaimanapun enggan menyerahkan kunci berkenaan kepada tertuduh susulan tertuduh tidak mempunyai lesen motosikal.

Pada masa yang sama, mangsa juga bertanyakan kepada tertuduh mengenai perkakas dan barangan di dalam rumah yang telah hilang. 

Tertuduh yang berang dengan pertanyaan itu seterusnya bertindak agresif dengan mengambil topi keledar dan cuba membalingnya ke arah mangsa, selain mengeluarkan kata ugutan ‘aku pukul kau kelak. mati kau kelak’. 

Mangsa berjaya mengelak daripada terkena topi keledar dan seterusnya keluar dari rumah serta terus ke balai untuk membuat laporan bagi tindakan selanjutnya. 

Tertuduh ditangkap pada hari sama sekitar jam 8.50 malam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement