Anda di sini

Lelaki dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah menceroboh 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah pejabat di Jalan Ridgeway di sini.

Majistret Zaiton Anuar juga menetapkan hukuman penjara bagi tertuduh, Mohamad Musa Sapali untuk dikuatkuasakan dari tarikh tangkap (22 Ogos 2022).

Mengikut pertuduhan, lelaki bekerja sendiri itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan rumah pejabat pada 20 Ogos lalu, sekitar jam 3.30 petang, di Jalan Ridgeway Off Jalan Ong Tiang Swee di sini.

Berdasarkan keterangan kes, seorang lelaki iaitu pekerja syarikat (pengadu) tersebut menyedari tingkap sebelah belakang pejabat majikannya terbuka dan terdapat kesan umpil pada tingkap. 

Pengadu membuat pemeriksaan di dalam rumah pejabat itu dan mendapati keadaan premis berselerak.

Memandangkan premis tersebut adalah milik majikannya, pengadu tidak berani mengusik barang-barang dan tidak mengetahui sekiranya terdapat barang hilang.

Pengadu turut memaklumkan perkara berkenaan kepada majikannya yang berada di Singapura.

Laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada hari berikutnya. 

Hasil siasatan mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas menunjukkan wajah dan perbuatan tertuduh menceroboh masuk serta berada dalam kawasan berpagar syarikat berkenaan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam seterusnya didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement