Anda di sini

Bantu lupus telefon bimbit, dua sekawan dipenjara lima bulan

Advertisement
 

KUCHING: Dua sekawan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membantu melupuskan harta curi berupa sebuah telefon bimbit.

Za’afar Julai, 39, dan Mohd Shahrul Nizam Jara’ee, 25, membuat pengakuan itu sebaik dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Dua lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 21 November lalu, sekitar jam 2.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Kudei, Jalan Rubber Barat di sini. 

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditangkap setelah seorang gadis berusia 22 tahun (pengadu) membuat laporan polis susulan dia disamun di sebuah hotel di Kenyalang Park di sini.
 
Semasa pengadu bekerja di kaunter pendaftaran hotel terbabit, pengadu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mengugut akan mencederakan pengadu menggunakan sebilah pisau sekiranya enggan menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit.

Akibat ketakutan, pengadu menyerahkan wang tunai berjumlah RM394 dan sebuah telefon bimbit kepada lelaki-lelaki terbabit yang kemudiannya melarikan diri. 

Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh melupuskan telefon bimbit milik pengadu dengan cara menjual barang tersebut kepada seorang lelaki lain.

Za’afar seterusnya ditangkap pada 27 November manakala Shahrul ditangkap pada 1 Disember. 

Sehubungan itu, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap. 

Dua sekawan itu tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement