Anda di sini

Projek karbon hutan dikawal selia pertama Sarawak bermula pada suku pertama 2023

Advertisement
Abang Johari semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam. -Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari selepas sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam. -Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Projek karbon hutan dikawal selia pertama Sarawak akan dimulakan pada suku pertama tahun depan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata inisiatif ini akan didorong entiti sektor swasta yang mempunyai sumber kewangan dan pengetahuan teknologi bagi memastikan kejayaan serta kelestarian projek ini.

"Sarawak stabil dari segi geologi, mempunyai kapasiti penyimpanan karbon terbesar di kawasan luar pesisir.

"Dianggarkan Sarawak mempunyai 30 trilion meter padu kapasiti simpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya. 

“Medan petroleum yang habis atau terbiar di kawasan luar pesisir, sesuai untuk pembangunan menjadi tapak bagi simpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan kekal 'dikumpul' oleh syarikat minyak dan gas yang kini mempunyai kewajipan untuk mengurangkan pelepasan CO2 ke atmosfera," ujarnya.

Abang Johari berkata pengumpulan dan penyimpanan karbon dioksida boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen, ammonia biru, biofuel dan produk lain.

Oleh itu katanya, oleh itu ia menyediakan platform untuk pembangunan berterusan industri penyimpanan dan penggunaan karbon yang dikumpul (CCUs) di Sarawak selain penjanaan kredit karbon dan sumber pendapatan baharu bagi Sarawak.

"Pada peringkat ini, PETROS dan Petronas sedang bekerjasama memulakan kerja pembangunan medan minyak yang habis di luar pantai Sarawak untuk penyimpanan CO2 dikumpul dari medan pengeluar minyak bersebelahan. 

"Lesen untuk ini akan dikeluarkan sebaik sahaja peraturan baharu mengenai Penyimpanan Karbon diwartakan pada awal 2023," jelasnya.

Beliau berkata baru-baru ini, Petronas Carigali Sdn Bhd telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi pembangunan projek Kasawari CCS di luar Bintulu.

Projek itu katanya, dijangka mengurangkan jumlah CO2 yang dikeluarkan sebanyak 3.3 juta tan bersamaan CO2 setiap tahun, menjadikannya salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia.

Selain itu, katanya syarikat terkemuka di Singapura, Korea dan Jepun juga telah menunjukkan minat mendalam untuk menyertai dan melabur dalam CCUS di Sarawak dan dalam pengangkutan merentasi sempadan CO2 yang dikumpul dari negara-negara ini bagi penyimpanan selamat di luar pesisir Sarawak.

"Masa depan industri baharu bagi Sarawak ini cerah dan juga merupakan satu lagi penjanaan hasil bagi Sarawak melalui pengenaan levi simpanan karbon. 

"Dianggarkan juga lebih 10,000 pekerjaan baharu dan bersih untuk industri ini akan diwujudkan sebelum 2030," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement