Anda di sini

Bonus kepada penjawat awam persekutuan bukti ekonomi Sarawak kukuh

Advertisement
 

SIBU: Pemberian insentif atau bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam persekutuan di negeri ini jelas menunjukkan Sarawak sebuah negeri kukuh dalam semua aspek tadbir urusnya.

Kevin Nyait (gambar), 41, seorang penjawat awam persekutuan di sini turut melahirkan rasa bersyukur atas pemberian tersebut yang disifatkannya sebagai 'hadiah' Krismas.
"Memang saya bersyukur atas pemberian ini, kalau tak silap sudah dua kali kerajaan negeri memberi insentif ini.

"Ini merupakan berita yang amat baik yang sentiasa diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg yang sangat prihatin terhadap penjawat awam atas sumbangan kepada kerajaan negeri," katanya di sini, hari ini. 

Kevin berkata, Abang Johari tidak pernah lupa adanya penjawat awam persekutuan di negeri ini yang dianggap beliau sama penting peranannya.

Menurutnya, ini membuatkan penjawat awam persekutuan di negeri ini tidak berasakan diri mereka tersisih.

"Ini memberi semangat dan galakan kepada kami sebagai penjawat awam persekutuan, malah saya sendiri anak kelahiran Sarawak amat bersyukur dan berterima kasih atas bonus disalurkan itu," jelasnya berasal dari Kapit.

Katanya, jika dilihat secara dasarnya pemberian insentif kepada penjawat awam persekutuan di negeri ini membuktikan Sarawak mempunyai kestabilan ekonomi, politik dan sosial sejak dahulu. 

"Ini dibuktikan dengan kepelbagaian bangsa dan agama membentuk perpaduan jitu dan harmoni di Sarawak," jelasnya sambil mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abang Johari dan kerajaan negeri.

 

Sementara itu, Nicholas Garaman Abas (gambar), 35, seorang lagi penjawat awam persekutuan di sini turut menyifatkan pemberian bonus itu sebagai rezeki hujung tahun bagi menampung bonus diberikan oleh persekutuan.

"Sangat-sangat bersyukur dengan pemberian ini. Walaupun jumlah tidak sama dengan rakan-rakan penjawat awam kerajaan negeri tetapi sudah memadai. Sekurang-kurangnya kerajaan negeri masih ingat akan kami," katanya berasal dari Kampung Sungai Passin di sini.

Beliau menyifatkan pemberian insentif itu sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap semua penjawat awam persekutuan di negeri ini yang secara tidak langsung turut membangunkan Sarawak.

"Inilah kerajaan Sarawak yang sangat hebat. Tidak perlu hendak kata atau ulas apa lagi, ia harus dijadikan contoh oleh kerajaan negeri-negeri lain.

"Diharap pemberian ini terus menjadi perangsang kepada kami terus bersama menyumbang kepada Sarawak," jelasnya.

Semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu, Abang Johari mengumumkan beberapa berita baik khasnya kepada penjawat awam negeri. 

Beliau mengumumkan bonus sebanyak sebulan setengah atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri dan turut memberi berita gembira kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak dengan bonus RM500. 
 

  • oleh
  • Advertisement