Anda di sini

Beli rumah pertama semasa Jerayawara SHEDA untuk dapatkan pengecualian duti setem 100%

Advertisement
 

KUCHING: Pengecualian duti setem 100 peratus diberikan kepada pemilik rumah yang membuat pembelian hartanah kediaman pertama di Jerayawara Rumah dan Hartanah SHEDA Cawangan Kuching 2022 yang sedang berlangsung hingga 4 Disember ini di AEON Mall Kuching, di sini.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden SHEDA Sarawak yang juga Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching, Dato Sim Kiang Chiok pada sidang media selepas perasmian jerayawara tersebut, hari ini.

"Saya menggesa mereka yang belum memiliki rumah untuk mempertimbangkan membeli hartanah kediaman pertama mereka semasa jerayawara ini.

"Ini agar mereka dapat menikmati pengecualian duti setem 100 peratus seperti yang dibenarkan di bawah Perintah Duti Setem (Pengecualian) 2021. 

"Perintah ini juga menyatakan bahawa ia hanya terpakai kepada hartanah kediaman bernilai kurang daripada RM500,000 dan S&P ditandatangani sebelum 31 Disember 2025," ujarnya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan Sarawak atas inisiatif Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS).

Menerusi skim tersebut katanya, pembeli rumah Sarawak yang pertama kali layak mendapat bantuan tunai maksimum RM10,000 sebagai bayaran deposit untuk pembelian rumah mereka.

Atau bantuan bayaran balik pembiayaan bulanan tersebut sebanyak RM200 sebulan sehingga 48 bulan, tambahnya.

Pengunjung jerayawara ujarnya, juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pempamer Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Dato Sri Dr Sim Kui Hian mewakili Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Tan Kai.

Juga Presiden SHEDA Sarawak Augustine Wong, Timbalan Presiden SHEDA Sarawak Louis Ting dan Pengerusi Penganjur Jerayawara Rumah dan Hartanah 2022 Alan Wong.

Sementara itu, Wong berkata, ini adalah peluang keemasan untuk mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai hartanah dan perkhidmatan berkaitan di bawah satu bumbung.

Lebih 20 gerai terdiri daripada ahli SHEDA dan bukan ahli mempamerkan hartanah tempatan dan dari Semenanjung Malaysia.

"Pengunjung akan mendapat tawaran seperti pangsapuri yang dijual pada harga RM288,800 atau rumah teres dua tingkat daripada RM365,600 dan seterusnya," jelasnya.

Beliau juga menambah bahawa pembeli yang membelanjakan minimum RM1,000 di mana-mana gerai mereka semasa jerayawara empat hari berpeluang memenangi TV Pintar Android 10.0 50" dengan Skrin Infinity dan peralatan elektrik lain dalam cabutan bertuah Beli & Menang, kesemuanya berjumlah lebih daripada RM10,000.

Pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Wilayah Kuching, sebuah agensi oleh Bank Negara Malaysia turut hadir pada jerayawara tersebut untuk memberi khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan dan menyediakan maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Pelawat yang mendaftar di gerai SHEDA akan diberikan baucar diskaun yang ditaja oleh penaja F&B Izumi Bakery, Seoul Garden dan Nando's tertakluk kepada ketersediaan dan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Semua pengunjung juga dialu-alukan untuk mencuba beberapa hidangan Krismas di gerai SHEDA yang ditaja oleh Izumi Bakery.

Aktiviti lain yang berlaku semasa jerayawara termasuk menghias kek cawan dan membuat doh sabun untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun masing-masing pada 3 dan 4 Disember.

Smart Reader Kids juga akan membuat persembahan dan kraf Krismas menggunakan aktiviti kitar semula yang terbuka kepada semua kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun.

Advertisement