Anda di sini

RM55,000 bantuan untuk mangsa terjejas angin kencang

Advertisement
 Kinit menunjukkan kesan kerosakan akibat angin kencang di SMK Pulau Gaya kepada Shahelmey semasa tinjauan terbabit.
TINJAU: Kinit menunjukkan kesan kerosakan akibat angin kencang di SMK Pulau Gaya kepada Shahelmey semasa tinjauan terbabit.

KOTA KINABALU: Sejumlah RM55,000 diperuntukkan kepada penduduk di lima buah kampung di Pulau Gaya selepas kediaman mereka terjejas dilanda angin kencang kelmarin.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya berkata sumbangan RM50,000 disampaikan Majlis Ugama Islam Sabah dan selebih RM5,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Kita harapkan bantuan ini dapat meringankan beban kepada 12 keluarga di lima buah kampung yang terjejas.

“Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) juga akan mengenal pasti secara lebih terperinci bagi menyalurkan sebarang bantuan yang diperlukan penduduk selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjuaan kesan kerosakan angin kencang di beberapa buah kampung di Pulau Gaya di sini.

Dalam pada itu Shahelmey juga melakukan tinjauan terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang turut terjejas dalam kejadian ini.

“Angin kencang turut menyebabkan dua blok bilik darjah mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunapakai untuk sesi pembelajaran.

“Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi merancang penempatan pelajar bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu lebih-lebih lagi tahun hadapan mereka akan berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Tambahnya beliau juga akan memanjangkan perkara ini dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mendapatkan inisiatif lain yang boleh membantu kira-kira 8,000 pelajar terjejas.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Pulau Gaya terutamanya ibu bapa pelajar agar berhubung dengan pihak sekolah bagi mengetahui perkembangan proses pembelajaran anak-anak selepas ini,” katanya.

Sementara itu Pengetua SMK Pulau Gaya Kinit Taguk berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang dan warga sekolah yang berada di lokasi ketika itu memaklumkan angin kencang menyerupai puting beliung itu berlaku sekitar lima minit sahaja.

“Saya dimaklumkan guru, penjaga kantin dan pengawal keselamatan yang melihat kejadian itu kini dalam keadaan terkejut kerana tidak pernah melihat kejadian seteruk ini.

“Kerosakan di sekolah ini dilihat banyak disebabkan oleh kesan ancaman ombak dan angin kencang sehingga mengurangkan kekukuhan struktur di sini.

“Kita juga sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sekiranya diberi cuti tambahan selepas ini dan untuk hari ini (semalam) sekolah tidak dapat beroperasi kerana cuti kecemasan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement