Anda di sini

Tragedi tanah runtuh, Itali umum perintah darurat

Advertisement
Jengkaut digunakan untuk membersihkan kawasan pelabuhan yang musnah di Casamicciola, kelmarin susulan bencana tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di pulau selatan Ischia. - Gambar AFP
Jengkaut digunakan untuk membersihkan kawasan pelabuhan yang musnah di Casamicciola, kelmarin susulan bencana tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di pulau selatan Ischia. - Gambar AFP


CASAMICCIOLA TERME: Kerajaan Itali mengumumkan perintah darurat kelmarin selepas siri kejadian tanah runtuh di pulau selatan Ischia membunuh sekurang-kurangnya seorang dan menyebabkan 12 lagi hilang.

Gelombang lumpur dan puing melanda pekan kecil Casamicciola Terme pada awal pagi Sabtu, menimbus sekurang-kurangnya sebuah rumah dan menghanyutkan kereta ke laut, menurut media tempatan dan perkhidmatan kecemasan.

Bahagian pertama tabung bantuan bernilai  dua juta euro telah dikeluarkan pada penghujung mesyuarat tergempar kabinet yang mengumumkan perintah darurat, menurut Menteri Pertahanan Awam Nello Musumeci. 

Lebih 200 anggota penyelamat masih mencari 12 orang yang hilang, sementara beratus-ratus anggota sukarela dan yang lain meredah lumpur separas lutut untuk membersihkan jalan raya di pekan itu.

Bangkai kereta dan bas yang ditimpa gelongsoran lumpur serta batang kayu berselerakan ketika jengkaut digunakan untuk membersihkan laluan ke rumah dan kedai.

Anggota penyelamat telah menemui mayat seorang wanita berusia 31 tahun, menurut kepada agensi berita Itali AGI.

"Kejadian ini amat menjejaskan kami khususnya mereka yang tertimbus di bawah gunung.

"Gunung runtuh, kedai, kereta, hotel musnah dan perkara ini sudahpun berlaku sembilan tahun lalu,” Salvatore Lorini, 45, memberitahu AFP. 

"Tanah runtuh ini berpunca daripada kekurangan penyelenggaraan dan pencegahan kerana alam semula jadi memang begitu apabila berlaku gempa bumi, sedikit usaha pencegahan mungkin dapat menyelamatkan nyawa," tambah Lorini yang sedang sibuk membersihkan kedai ibu mentuanya.

Semenanjung luar pantai Naples itu sudah biasa berdepan perintah darurat selepas kejadian gempa bumi, letusan gunung berapi atau cuaca buruk.

Casamicciola Terme, pusat peranginan spa dengan 8,000 penduduk pada musim sejuk di pulau subur Ischia berhampiran Capri, telah dilanda gempa bumi pada 2017 yang membunuh dua orang.

Ia musnah sepenuhnya susulan satu gempa bumi yang jauh lebih kuat pada hujung kurun ke-19 lalu. - AFP

Advertisement