Anda di sini

Lelaki dipenjara lapan bulan kerana miliki syabu

Advertisement
 

KUCHING: Padah memiliki 0.15 gram syabu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy memerintahkan hukuman penjara bagi Mohd Halim Lim Abdullah, 51, untuk dikuatkuasakan mulai tarikh tangkap, 28 September lalu. 

Lelaki itu mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12(3) Seksyen sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. 

Berdasarkan pertuduhan, Halim didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 28 September lalu, sekitar jam 11 pagi, di tepi jalan berhadapan agrobazar di Jalan Kampung Buntal, di sini. 

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis telah menahan tertuduh pada hari kejadian susulan dia disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan fizikal telah dilakukan terhadap tertuduh dan lelaki itu kemudiannya telah menyerahkan sendiri satu peket plastik lutsinar, di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.62 gram. 

Semasa dalam siasatan polis, barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

Laporan Kimia pada 26 Oktober lalu mengesahkan bahawa barang kes mengandungi 0.15 gram dadah jenis syabu. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement