Anda di sini

Tokoh korporat yakin pelantikan Anwar bawa kestabilan dan kukuhkan ekonomi

Advertisement
Yek (kiri) dan Abdul Kadier.
Yek (kiri) dan Abdul Kadier.

BINTULU: Dua tokoh korporat terkenal di sini percaya pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mampu membawa kestabilan politik dan mengukuhkan ekonomi negara.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI) Yek Siew Liong, 62, optimis mengenai pengwujudan kerajaan perpaduan untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelaburan tempatan dan antarabangsa.

"Kami menjangkakan ketelusan, kecekapan dan tadbir urus  yang lebih bersungguh-sungguh dalam pentadbiran kerajaan, pendekatan perniagaan dan orang ramai akan membantu kepada pembuatan dasarnya," katanya di sini, hari ini.

Bagi pihak BCCCI katanya, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri ke-10.

"Saya juga dengan hormatnya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan baginda dengan cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan memandangkan parlimen tergantung, disusuli Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan pandangan bagi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat," katanya.

Beliau turut memuji keputusan semua parti komponen kerajaan perpaduan yang mempertimbangkan nasihat dan usul Yang di-Pertuan Agong demi kebaikan negara.

"Tabik hormat saya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menjadi teladan dalam menunjukkan 'jiwa besar' untuk menerima permohonan maaf ikhlas Parti Tindakan Demokratik (DAP) demi kebaikan negara," katanya.

Ini katanya, akan memberi petanda baik untuk kestabilan politik, seterusnya mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mempromosikan inovasi dan isu-isu yang sedang berjalan untuk Malaysia.

"Kita adalah sebuah negara yang diberkati dengan sumber semula jadi yang melimpah ruah dalam sfera indah masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.

"Semoga ia menjadi satu perpaduan dalam kepelbagaian untuk mengukuhkan keyakinan kami dalam semua usaha kami," katanya.

Naib Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datuk Abdul Kadier Sahib, 74, berkata, sudah tiba masanya untuk pemimpin dan rakyat berfikir dan bertindak sebagai satu rakyat Malaysia.

"Kami menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong.

"Ahli Parlimen perlu berfikir dengan tenang, berfikir secara serius bagaimana untuk membawa kestabilan politik, pengagihan adil pembangunan khas kepada negeri-negeri yang belum maju dan berfikir di luar kepentingan parti demi rakyat dan Malaysia," katanya.

Beliau percaya pelantikan ini menunjukkan kepada negara-negara yang lebih maju dalam demokrasi bagaimana Malaysia boleh membuktikan kepada mereka 'Malaysia Boleh' untuk menubuh dan menjalankan kerajaan perpaduan.
 

  • oleh
  • Advertisement